Kontak rapat tak perlu kuarantin

Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan individu berusia 18 tahun dan ke atas yang menjadi kontak rapat, tetapi telah menerima dos penggalak serta tidak bergejala, tidak lagi perlu menjalani kuarantin berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bagaimanapun individu berkenaan perlu menjalani ujian kendiri (RTK) pada hari pertama dan ketiga pada tarikh akhir mereka terdedah dengan kes positif berkenaan.

Katanya kontak rapat tidak perlu menjalani perintah pemerhatian dan pengawasan di rumah (HSO) sekiranya tidak bergejala pada hari pertama.

“Sekiranya ujian yang dijalankan itu negatif, individu ini boleh lakukan urusan seperti biasa, manakala mereka yang positif pula perlulah melaporkan dalam aplikasi MySejahtera serta menjalani tempoh isolasi.

“Bagi individu yang lengkap dos vaksin dan belum menerima dos penggalak, mereka kekal perlu menjalani kuarantin dalam tempoh lima hari.

“Kalau negatif pada hari pertama dan ketiga, mereka boleh teruskan urusan seperti biasa,” katanya pada sidang media hari ini.

Protokol baharu juga menetapkan individu sudah lengkap vaksinasi dan baharu dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 60 hari walaupun menjadi kontak rapat tidak perlu menjalani pengasingan.

Namun, mereka yang bergejala masih perlu menjalani kuarantin.

Sementara itu, Khairy berkata perubahan protokol itu dibuat selepas penelitian terhadap data varian Covid-19 yang lain menunjukkan beban virus (viral load) akan menurun terhadap mereka yang sudah melengkapkan vaksinasi.

Menurutnya KKM mengandaikan beban virus akan turun bagi individu yang sudah mendapatkan dos penggalak ketika negara sedang berdepan gelombang Omicron ketika ini.

Beliau berkata, segala tindakan itu juga adalah antara langkah ke arah fasa endemik.

BERITA BERKAIT
POPULAR