
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Dakwaan terdapat usaha untuk menggantikan Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang yang baharu tidak diketahui Chow Kon Yeow.
Kon Yeow berkata setakat ini tidak ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbirannya dan menyifatkan laporan sebuah portal berhubung gerakan untuk menyingkirkannya sebagai sesuatu yang baharu didengarnya.
“Saya tidak tahu siapa mereka, mereka pun tidak pernah menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap saya,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan dakwaan kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat beliau daripada kembali menjadi KM selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai KM.
“Saya belum baca dan tidak tahu apa-apa yang dilaporkan dan berita ini adalah baharu kepada saya. Kalau saya tak baca tapi nak jawab, tak adil jugalah.
“Saya akan akan jawab, bukan hari ini, tetapi apabila sampai masanya,” katanya.
Ditanya lanjut mengenai sama ada Guan Eng masih berpeluang menjadi Ketua Menteri semula sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, pindaan negeri pada 2008 dengan jelas memasukkan dasar baharu yang mana seseorang itu tidak boleh dilantik sekiranya pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama dua penggal.
“Pindaan itu dibawa ke sidang DUN dan diluluskan oleh kesemua ahli-ahli PH pada masa ia dipinda dan diundikan (pada 2018),” katanya lagi.