Kompaun SOP Covid-19: Najib tegur Kit Siang, Khairy pula tegur Najib

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau mempunyai satu lagi saman tertunggak kerana melanggar protokol kesihatan, yang belum dibayar.

Pada masa sama, beliau juga berharap bekas Perdana Menteri itu sudah menerima empat lagi kompaun yang dihantar menerusi pos berdaftar setelah pegawai Najib enggan menerimanya sebelum ini.

Khairy menjelaskan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kompaun kepada veteran DAP, Lim Kit Siang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 baru-baru ini.

“Kompaun sudah dikeluarkan kepada @limkitsiang. KKM juga harap @NajibRazak bayar satu kompaun yang dikeluarkan semasa PRN Johor yang masih belum settle.

“KKM juga harap @NajibRazak menerima 4 lagi kompaun yang dihantar melalui pos daftar yang pegawai DS enggan terima sebelum ini,” kata Khairy dalam laman Twitternya hari ini.

Semalam, Najib mempersoalkan Kit Siang berpeluk dengan ahli DAP lain pada kongres parti itu yang diadakan di Shah Alam, hujung minggu lalu.

“Tapi saya perhatikan Kit Siang banyak berpeluk dengan geng-geng DAP semalam. Kenapa pula artis AJL boleh disaman berpeluk tapi KKM tak saman DAP?

“Saya tak berniat jahat tapi geng inilah yang paling seronok tuduh saya langgar SOP sehingga KJ saman saya banyak kali. Lebih elok juga ahli-ahli Parlimen DAP yang berpeluk dengan Kit Siang semalam kuarantin kendiri dan jangan datang Parlimen,” tulis Najib dilaman Facebooknya semalam.

Sementara itu, dalam jawapan balas kepada kenyataan Khairy hari ini, Najib mempersoalkan apakah Kit Siang seorang sahaja yang dikenakan kompaun.

“Kit Siang seorang je yang kena kompaun? Itupun satu kompaun berjumlah RM1k yang dikeluarkan semalam.

“Tapi yang berpeluk itu adalah berpuluh orang?

“Entah kenapa dia (Khairy) kaitkan kompaun Kit Siang dengan saya tapi saya akan bayar lima kompaun anda terhadap saya,” kata Najib.

BERITA BERKAIT
POPULAR