Kluster tempat kerja naik: Kerajaan beri amaran kepada majikan

Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh.

Kerajaan memberi amaran kepada majikan yang tidak membenarkan kakitangan mereka menjalani kuarantin kendiri sementara menunggu hasil keputusan ujian Covid-19.

Amaran itu dibuat susulan peningkatan jumlah kluster akibat jangkitan Covid-19 di tempat kerja yang menunjukkan trend membimbangkan kebelakangan ini, apabila mencatatkan 44 kluster mulai 2 hingga 8 Mei berbanding 24 kluster pada tempoh 25 April hingga 1 Mei.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, situasi membimbangkan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 83.3 peratus bagi tempoh tersebut.

Daripada 19 kluster baharu yang dilaporkan hari ini, tujuh adalah kluster tempat kerja iaitu di Kuala Selangor dengan enam kes positif; Hulu Langat (10); Muar dan Tangkak (33); Seberang Perai Utara, Tengah dan Selatan (37); Kota Setar, Kula Muda, Pendang dan Yan (10); dan Kota Kinabalu, KOta Belud, Papar, Penampang, Putatan, Ranau, Sandakan, dan Tuaran (26).

Oleh itu, katanya, mana-mana majikan yang tidak membenarkan kakitangan menjalani kuarantin kendiri boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)

“Kakitangan sekiranya positif perlu menjalani kuarantin wajib selama 10 hari manakala yang negatif pula disaran melaksanakan pengasingan secara sukarela.

“Jika didapati ada majikan tidak benarkan kuarantin, ada peruntukan di bawah Akta 342 yang boleh mengenakan penalti terhadap mereka.

“Tindakan boleh diambil jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka sama ada disyaki, berkemungkinan atau sedang diuji menjalani kuarantin kendiri sehingga keputusan diperoleh,” katanya pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, hari ini.

Dr Adham berkata trend peningkatan kes kematian akibat Covid-19 dikesan dalam masa enam minggu iaitu sejak 21 hingga 27 Mac iaitu 22 kes; diikuti masing-masing 35 kes pada dari 28 Mac hingga 3 April dan dari 4 hingga 10 April; 49 kes dari 11 hingga 17 April; 56 kes dari 18 hingga 24 April dan 95 kes dari 25 April hingga 1 Mei.

POPULAR