Kluster tempat kerja kekal tinggi

Sembilan daripada 15 kluster baharu yang dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan jangkitan di tempat kerja, manakala lima membabitkan kluster komuniti dan satu kumpulan berisiko tinggi.

Secara keseluruhan daripada kluster baharu itu, seramai 396 individu dijangkiti Covid-19, dengan 318 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja; komuniti (67 individu); dan 11 individu daripada kluster kumpulan berisiko tinggi yang dikesan di Kota Tinggi, Johor.

Bagi kluster tempat kerja, Johor mencatat tiga kluster, diikuti masing-masing dua di Perak dan Selangor, dan masing-masing satu di Kedah dan Pahang.

Kelantan merekodkan empat kluster komuniti, manakala satu lagi di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh 24 jam itu seramai 17,725 pesakit disahkan sembuh, meningkat berbanding 17,000 yang direkodkan semalam.

Jumlah itu katanya, menjadikan kumulatif pesakit pulih sepenuhnya daripada jangkitan Covid-19 melebihi 2.05 juta individu berbanding 2,245,824 kumulatif kes positif.

Mengenai jangkitan harian pula, beliau berkata daripada 17,725 kes baharu yang dicatat hari ini, 884 membabitkan bukan warganegara Malaysia.

“Sebanyak 220 kes atau 1.7 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 12,515 kes (98.3 peratus) lagi pesakit kategori 1 dan 2,” katanya.

Seramai 924 pesakit berkaitan virus itu, termasuk 849 yang disahkan dijangkiti Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Seramai 512 pesakit lagi memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR