Kluster tempat kerja kekal tertinggi

Sembilan daripada 13 kluster baharu Covid-19 yang dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi di seluruh negara membabitkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tiga kluster lagi melibatkan jangkitan dalam komuniti dan satu kluster berkaitan pendidikan yang dilaporkan di Putrajaya membabitkan 11 individu daripada 33 yang disaring.

Menurutnya, tiga kluster tempat kerja dikesan di Selangor membabitkan Kuala Langat, Hulu Langat dan Kuala Selangor yang keseluruhannya melibatkan 70 individu daripada 509 yang disaring.

Johor pula merekodkan dua kluster tempat kerja iaitu masing-masing satu di Kota Tinggi membabitkan 10 individu daripada 580 yang disaring, dan Batu Pahat (10 individu/30 disaring).

Kluster tempat kerja juga turut dikesan masing-masing satu di Kota Setar, Kedah melibatkan 11 individu daripada 33 yang disaring; Port Dickson, Negeri Sembilan (52 individu/242 disaring); Rompin, Pahang (34 individu/43 disaring); dan Seberang Perai Tengah serta Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang (18 individu/28 disaring).

Kluster komuniti pula dikesan masing-masing satu di Kelantan, Pahang dan Selangor. Kelantan mencatatkan 15 individu positif Covid-19 daripada 21 yang disaring di Kota Bharu; Lipis, Pahang (14 individu/104 disaring); dan Sabak Bernam, Selangor (12 individu/27 disaring).

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan daripada 7,420 kes baharu hari ini, 17 adalah kes import yang membabitkan 12 warganegara dan lima bukan warganegara.

“Daripada 7,420 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 108 kes atau 1.5 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 7,312 kes (98.5 peratus) adalah pesakit kategori 1 dan 2.

“Seramai 700 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi dan 364 memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR