Kluster tempat kerja kekal jadi ‘kilang virus’ Covid-19

Kluster tempat kerja kekal menjadi ‘kilang’ penularan virus Covid-19 di seluruh negara apabila 498 jangkitan dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, lapor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kes tertinggi kluster tempat kerja dilaporkan di Industri Parit Jamil, Muar iaitu sebanyak 127 kes, dan Jalan Perindustrian Agas 11 di Tangkak membabitkan 104 kes positif. Kedua-dua kluster itu adalah di Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 17 kluster baharu dilaporkan hari ini membabitkan 11 kluster tempat kerja, komuniti (lima) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Empat kluster tempat kerja dilaporkan di Johor, Pahang (dua) dan masing-masing satu di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Sarawak juga melaporkan dua kluster komuniti, dan masing-masing satu di Kelantan, Selangor dan Terengganu, manakala satu kes kumpulan berisiko tinggi dikesan di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 63 kematian dilaporkan membabitkan 54 warganegara dan sembilan bukan warganegara.

Angka itu menjadikan kumulatif kematian sebanyak 5,497 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu juga 5,271 pesakit dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 705,486 kes, dengan 67,669 kes masih aktif.

“Seramai 917 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi. Daripada jumlah itu 443 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan data terkini pada 3 Julai 2021, nilai Rt Malaysia adalah sebanyak 1.07.

Negeri yang mencatatkan nilai Rt tertinggi adalah Pahang (1.24). Manakala negeri-negeri lain yang mencatatkan Rt melebihi 1.0 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.16), Melaka (1.12), Selangor (1.08), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.04), Pulau Pinang (1.02), dan Sabah (1.01).

Data 4 Julai 2021

BERITA BERKAIT
POPULAR