KKM syor kehadiran di Parlimen dikurang, tempoh sidang disingkat

Kementerian Kesihatan (KKM) telah mencadangkan kepada Dewan Rakyat supaya jumlah kehadiran secara fizikal dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan, susulan 56 kes positif dikesan di Parlimen.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan dilakukan sebelum Parlimen bersidang bagi mencegah penularan Covid-19 ketika persidangan berlangsung.

“Mengambil kira situasi semasa Covid-19 di Malaysia, keputusan saringan dijalankan sebelum Parlimen bersidang dan bagi mencegah penularan Covid-19 ketika persidangan berlangsung, KKM mencadangkan jumlah kehadiran secara fizikal di Parlimen dikurangkan dan tempoh persidangan dipendekkan.

“Sehingga semalam sebanyak 56 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan dua Ahli Parlimen, pegawai pengiring (enam) dan pegawai dari pelbagai agensi kerajaan (48),” katanya dalam kenyataan hari ini sembil menjelaskan cadangan itu dimaklumkan pada Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Katanya, ini menjadikan kadar positif adalah 2.7 peratus dan daripada 56 kes positif itu, seramai 39 orang atau 69.6 peratus adalah mereka yang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.

“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan sehingga semalam, kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi di antara satu sama lain.

“Justeru, individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen. Mereka sudah diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes positif ini dan sehingga semalam, empat kontak rapat disahkan positif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata semua kontak rapat ini tidak hadir sejak hari pertama persidangan berlangsung dan sedang dalam tindakan susulan oleh pihak kesihatan.

Bagaimanapun katanya, bagi memastikan kelancaran Sidang Khas Parlimen yang bermula Isnin lalu, semua individu dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada.

“KKM akan terus memantau perkembangan situasi di Parlimen. Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) turut ditempatkan di bangunan Parlimen untuk menyelaras saringan demam dan gejala ke atas semua yang memasuki bangunan Parlimen,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam, seramai 104 individu menjalani ujian saringan kendiri Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) menggunakan sampel air liur dan mendapati kesemuanya negatif Covid-19.

Katanya, jika terdapat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan individu yang hadir ke Parlimen, siasatan akan dijalankan termasuk pengesanan kontak dan punca jangkitan.

“Selain itu, penilaian risiko juga dijalankan untuk mengetahui sama ada terdapat penularan jangkitan berlaku di kalangan mereka yang hadir ke Parlimen dan keperluan penutupan sementara bagi menjalankan langkah pencegahan dan kawalan.

“Berdasarkan penilaian risiko dijalankan oleh pasukan kesihatan yang ditempatkan di Parlimen, buat masa ini tiada penularan jangkitan Covid-19 dikesan. Pemantauan dan penilaian risiko akan diteruskan sehingga Sidang Mesyuarat Parlimen berakhir,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR