KKM, SPR kaji SOP benarkan pengundi positif Covid-19 untuk memilih

Satu protokol dan prosedur operasi standard (SOP) bagi membenarkan pengundi yang didapati positif Covid-19 memilih semasa pilihan raya sedang diteliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Langkah tersebut diambil bagi membolehkan pengundi yang positif menjalankan tanggungjawab mereka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Jelasnya, semua pihak perlu menerima hakikat penularan Covid-19 akan kekal, justeru hak pengundi tidak sepatutnya dinafikan.

“Tetapi saya katakan kepada pegawai saya, Covid-19 akan kekal. Kalau kita nafikan hak mereka untuk mengundi, bermakna kita terus menafikan hak untuk berpelembagaan.

“Jadi, kita sedang memikirkan apakah cara paling selamat untuk mereka mengundi,” katanya.

Khairy terdahulu melancarkan Laporan Tahunan Clinical Research Malaysia (CRM) 2021 dan pembentangan Laporan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) hari ini.

Tegasnya, keadaan yang berlaku membabitkan seorang pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu mungkin boleh difahami kerana belum ada protokol selamat yang disediakan.

Walaupun terdapat pihak mencadangkan supaya pengundi yang positif Covid-19 dibenarkan mengundi secara undi pos, Khairy menjelaskan ia sukar dilakukan jika mereka disahkan dijangkiti dua tiga hari sebelum hari mengundi.

Selain itu, katanya, perincian mengenai siapa yang akan membawa pesakit ke tempat pengundian serta saluran yang akan digunakan perlu juga disediakan.

“Adakah kita akan ada saluran yang khusus untuk pesakit positif Covid-19? Benda ini akan membabitkan masa sedikit. Bukan saya kata mahu menunda atau apa, tetapi pertimbangan politik adalah satu perkara.

“Saya sebagai ahli UMNO, saya faham pertimbangan politik tapi kita juga berada dalam kerajaan, justeru kita perlu memikirkan soal lain juga,” katanya.

Berhubung masa sesuai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan, Khairy berkata kerajaan akan melihat masa yang sesuai pada ketika risiko paling rendah.

“Kita kena lihat masa risiko paling rendah untuk kita adakan PRU-15 kerana kita tahu proses PRU membabitkan orang ramai keluar berkempen dan mengundi,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR