
Gejala yang menimpa kanak-kanak sebelum tanda-tanda keradangan hati termasuk loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Pengamal perubatan di klinik kesihatan kerajaan dan swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berumur satu bulan hingga kurang dari 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut ke hospital untuk pengurusan kes selanjutnya.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gejala lain hepatitis akut ialah hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap.
“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi kes yang telah dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam.
“Protokol rujukan dan pengurusan kes Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya (Acute Hepatitis of Unknown Aetiology) sedang dibangunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan hepatitis akut yang teruk dan tidak diketahui asal usulnya telah dikenal pasti dalam hampir 170 kanak-kanak di 11 negara dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Gejala yang menimpa kanak-kanak sebelum tanda-tanda keradangan hati termasuk loya, muntah, cirit-birit dan sakit perut.
Indonesia melaporkan tiga kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit hati yang misteri, kata kementerian kesihatan negara itu, meningkatkan jumlah kematian global kepada sekurang-kurangnya empat kes.
Mengulas lanjur Khairy menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti dinyatakan perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
KKM akan terus memantau sitiuasi kejadian Hepatitis Akut yang tidak diketahui asal usulnya dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, kata beliau.
Katanya, hasil pemantauan yang telah dijalankan buat masa ini terdapat seorang kanak-kanak lelaki warganegara berumur empat tahun 11 bulan di Sabah dengan gejala hepatitis akut telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sabah pada bulan lepas.
“Kes ini mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah. Selanjutnya, dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang. Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat,” kata Khairy.