KKM lulus Sinovac untuk PICKids, Paxlovid kepada individu dewasa

Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan penggunaan vaksin “CoronaVac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated” keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd, China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd, Malaysia kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 hari ini (3 Mac 2022), bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin itu.

Menurutnya CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas.

“Ini merupakan vaksin Covid-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak.

“Sebelum ini pada 6 Januari 2022 kelulusan telah diberikan kepada vaksin Comirnaty untuk vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun,” katanya dalam kenyataan hari iniu.

Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran bersyarat itu bagaimanapun, masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

Beliau juga memaklumkan mesyuarat itu turut bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat kepada produk Paxlovid (PF-07321332 150mg Film-Coated Tablets and Ritonavir 100mg Film-Coated Tablets) untuk rawatan Covid-19 kepada individu dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala teruk.

Bagaimanapun, beliau berkata produk Paxlovid keluaran Pfizer Manufacturing Deutschland GmbH, Jerman dan Pfizer Ireland Pharmaceuticals, Ireland itu tidak bertujuan untuk digunakan sebagai pengganti bagi vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“KKM juga sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada produk vaksin bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR