KKM kesan 13 kes baharu varian membimbangkan di lima negeri

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 13 lagi kes variant of concern (VOC) susulan ujian ke atas sampel beberapa individu di lima negeri sejak 17 Mei hingga 23 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kes VOC itu dikesan di Kedah, Perlis, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“13 lagi kes VOC dikesan. Hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel Covid-19 dari 17 Mei 2021 sehingga 23 Mei 2021 telah mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan 13 lagi kes Variant of Concern (VOC),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 12 kes baharu yang dijangkiti varian South African B.1.351 telah dikesan di Kedah, Perlis, Selangor, dan Johor.

“Satu kes baharu warganegara yang dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) telah dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti varian South African B.1.351 adalah sebanyak 78 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) enam kes.

Semalam, 7,289 jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, sekali gus menyaksikan ianya adalah jumlah tertinggi sejak pandemik melanda negara.

Sebanyak 60 kematian dicatatkan dalam tempoh itu dengan 59 daripadanya adalah warganegara, menjadikan kumulatif kematian sebanyak 2,369.

BERITA BERKAIT
POPULAR