KKM kaji beri dos keempat

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Kumpulan Kerja Teknikal (KKT) masih mengkaji keperluan memberikan suntikan dos keempat, susulan ada kajian mendapati dos penggalak tidak mencukupi menghalang penularan varian baharu Covid-19, Omicron.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata anggota KKT akan mengemukakan cadangan kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas kajian itu dimuktamadkan.

“Kumpulan Kerja Teknikal KKM sedang mengkaji keperluan memberikan suntikan dos penggalak keempat, susulan ancaman penularan jangkitan Omicron.

“KKM mengambil maklum kajian yang mendapati pemberian dos penggalak Pfizer kepada penerima suntikan primer jenis Sinovac adalah tidak mencukupi bagi membendung jangkitan Omicron,” katanya.

Khairy berkata KKM sudah menerima maklumat itu, justeru, KKT sedang melakukan kajian dan selepas maklumat diperoleh, mereka akan buat cadangan kepada CITF seperti biasa.

“Sama ada mereka yang terima Sinovac-Sinovac (suntikan primer dua dos) dan (dos penggalak) Pfizer mesti dilengkapi satu lagi dos.

“Tetapi terlalu awal untuk buat kesimpulan ini (pemberian dos keempat),” katanya.

Sejak Oktober 2021 hingga semalam (31 Disember) seramai 6,287,197 atau 26.9 peratus individu, terutama mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta petugas barisan hadapan, menerima dos penggalak.

KKM mewajibkan individu berusia 60 tahun dan ke atas mengambil suntikan dos penggalak sehingga akhir Februari bagi mengelakkan status MySejahtera mereka bertukar kepada ‘tidak lengkap’.

BERITA BERKAIT
POPULAR