KKM beri kelulusan bersyarat kegunaan vaksin Covaxin

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin, Covaxin, bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Covaxin digunakan untuk imunisasi aktif bagi mencegah Covid-19 yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2 dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit–risk balance) bagi vaksin tersebut kekal positif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Covaxin dikilangkan Bharat Biotech International Limited dari India dan diedar Averroes Pharmaceuticals Sdn Bhd.

Menurutnya Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada vaksin bagi tujuan pencegahan penularan Covid-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Sementara itu beliau memaklumkan, 14 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhannya 6,555 kluster dengan 6,160 telah ditamatkan dan 395 lagi masih aktif.

Menurutnya dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi seramai 5,712 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,835,464 atau 95.3 peratus daripada 2,975,422 kes kumulatif positif.

Sebanyak 134 kes import yang membabitkan 87 warganegara dan 47 bukan warganegara turut dikesan hari ini, manakala selebihnya 18,956 kes, termasuk 510 rakyat asing, melibatkan penularan tempatan.

Sehingga kini, seramai 158 pesakit dirawat di unit rawatan rapi, dengan 78 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

“Daripada 19,090 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 113 kes atau 0.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 18,977 kes (99.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR