
Penjaga dan pelawat kini dibenarkan berada dalam hospital. - Gambar Twitter Noor Hisham Abdullah
Polisi dan garis panduan baharu yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kelonggaran kepada penjaga dan pelawat pesakit di hospital, bagaimanapun mensyaratkan perlu lengkap vaksinasi Covid-19.
Langkah tersebut diambil setelah mengambil kira kepentingan sokongan psikososial terutamanya daripada ahli keluarga pesakit dalam membantu proses penyembuhan pesakit.
Jelas KKM lagi, kelonggaran itu dibuat selepas meneliti analisa trend terkini kes Covid-19 kategori 3, 4 dan 5 dan kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 yang rendah.
Sehubungan dengan itu, KKM telah bersetuju untuk membenarkan pesakit-pesakit di wad untuk ditemani oleh penjaga dan juga menerima pelawat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.
Bagaimanapun, tatacara perlaksanaan arahan ini adalah tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.
Kriteria Umum Pelawat atau Penjaga
Secara umumnya, pelawat atau penjaga yang dibenarkan untuk melawat dan menemani pesakit mestilah:
• Berumur 12 tahun dan ke atas;
• Telah lengkap vaksinasi Covid-19;
• Tidak tergolong dalam kumpulan yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19 (contoh: mempunyai pelbagai komorbiditi atau sistem imuniti yang lemah);
• Bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital. Tarikh dan masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti;
• Tidak disyaki menghidapi Covid-19 atau individu dalam pemantauan (PUS);
• Tidak mempunyai gejala Covid-19; dan
• Mengisi borang deklarasi Covid-19 serta mematuhi SOP dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan.
Kriteria Khusus Yang Perlu Dipatuhi Mengikut Kategori Pesakit Yang Dilawat
A) Pesakit Bukan Covid-19
i. Bagi penjaga pesakit bukan Covid-19 yang berada di wad serta individu yang ingin menemani ibu mengandung semasa proses bersalin, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif;
ii. Lawatan daripada kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan Covid-19 yang berada sama ada di wad, Unit Rawatan Rapi atau sedang tenat (end of life) adalah dibenarkan namun adalah terhad kepada dua orang pelawat pada satu-satu masa. Pelawat juga digalakkan untuk menjalani ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum melawat; dan
iii. Hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan bagi pesakit bukan Covid-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau jabatan kecemasan. Penjaga juga adalah digalakkan menjalani ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum hadir ke fasiliti kesihatan.
B) Pesakit Covid-19
i. Bagi pesakit Covid-19, kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja. Bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif. Ujian RTK-Ag kendiri perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.
ii. Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit Covid-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat (end of life) sama ada di wad atau di Unit Rawatan Rapi. Hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan pada satu-satu masa dan ujian Covid-19 menggunakan RTK-Ag kendiri adalah digalakkan sebelum lawatan.
Perlaksanaan polisi penjaga dan pelawat di hospital KKM semasa fasa peralihan ke endemik ini akan berkuat kuasa pada 23 April 2022.
KKM juga menekankan dalam keadaan tertentu di mana risiko penularan Covid-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak Covid-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi yang sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak.