KKM beri amaran varian mudah berjangkit menular di setiap negeri

Dua jenis vaksin baharu diberikan kelulusan bersyarat Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kemungkinan besar virus Covid-19 daripada varian South African B.1.351 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) telah merebak secara meluas di dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua varian VOC, terutama B.1.351 yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi telah dikesan menular di setiap negeri.

“Oleh itu, besar kemungkinan sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu jenis VOC di semua negeri di Malaysia.

“Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu.

“Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes Covid-19,” katanya pada sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga mengenal pasti 119 pesakit Covid-19 yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI), hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan.

Katanya, daripada jumlah ini, sebanyak 14 kes adalah jangkitan import dari luar negara, manakala 105 kes lagi adalah jangkitan dalam negara.

“Daripada jumlah 119 kes yang dikesan tersebut, 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI,” katanya.

Beliau berkata VOC yang dikesan itu membabitkan 89 kes varian B.1.351 yang kesemuanya adalah kes jangkitan dalam negara; sembilan kes varian B.1.1.7 (4 import dan 4 dalam negara; dan enam kes varian B.1.617 (kesemuanya jangkitan import).

Manakala bagi VOI pula 12 kes adalah varian P.3 yang membabitkan kes jangkitan dalam negara dan tiga kes varian B.1.522 (jangkitan import).

Sehubungan itu, katanya, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.

POPULAR