KKM beri amaran patuh SOP jika berkunjung ke Langkawi

Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai yang bakal mengunjungi pulau pelancongan Langkawi supaya sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata tatkala semua pihak cuba mengimbangi di antara nyawa dan kelangsungan hidup serta ekonomi, kerjasama semua pihak memastikan tiada penularan Covid-19 berlaku amat diperlukan.

“Di kala kita cuba mengimbangi di antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 di pulau percutian itu. Kerjasama dari anda semua adalah sangat dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kedah hari ini melaporkan 1,256 jangkitan baharu. Daripada jumlah itu Langkawi merekodkan 50 kes. Angka itu menjadikan kumulatif kes di negeri itu mencapai 22,535 kes manakala jumlah keseluruhan kes di Langkawi, adalah 764 kes.

Pulau Langkawi akan menjadi perintis gelembong pelancongan yang akan dibuka semula kepada pelancong tempatan mulai 16 September ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkata Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dalam proses menambahbaik kesiapsiagaan dan kapasiti perubatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital dan ICU di negeri itu.

HSM merupakan hospital hybrid yang mempunyai 79 katil untuk merawat pesakit Covid-19 dan 142 katil bagi rawatan lain, katanya.

Terdahulu beliau turut menghadiri ke Mesyuarat Penyelarasan Gelembung Pelancongan Langkawi yang diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Menurutnya antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai SOP Gelembung Pelancongan Langkawi dan peranan antara agensi dalam penguatkuasaan kepatuhan SOP berkaitan.

Pegawai Daerah Langkawi, Saiful Anwar Azmi bersetuju mempengerusikan Pasukan Khas Langkawi bertujuan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Pulau Langkawi dan setiap agensi yang terlibat akan melaporkan sebarang aktiviti kepada pasukan khas itu.

Dr Noor Hisham berkata beberapa petunjuk prestasi bagi kesihatan telah dicadangkan dan akan diperhalusi di peringkat jawatankuasa.

“Ia termasuk nilai ambang tertentu kes Covid-19 harian baharu serta kemampuan kapasiti kesihatan awam, kluster baharu berkaitan aktiviti gelembung pelancongan dan kapasiti katil wad dan ICU di HSM,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR