KKM beri amaran kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak meningkat

January 20, 2022 · Isu semasa

Seramai 579,624 remaja dan kanak-kanak berusia 18 tahun dan ke bawah telah dijangkiti Covid-19 dalam tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022, dengan 144 kes kematian direkodkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata daripada jumlah jangkitan positif itu, sebanyak 269,773 kes melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dengan 31 daripadanya meninggal dunia.

Menurutnya, walaupun kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala ringan, terdapat juga sebilangan daripadanya yang mengalami gejala teruk serta memerlukan rawatan di hospital, selain dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Mutakhir ini terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak terutama setelah pembukaan sekolah pada awal 2022.

“Selain itu, varian baharu Omicron didapati lebih mudah merebak dan berpotensi tinggi untuk dijangkiti kanak-kanak serta individu dewasa.

“Data yang diperoleh dari negara-negara yang terkesan dengan varian Omicron juga menunjukkan peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy berkata selain risiko ‘long Covid’, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius dikenali sebagai Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).

Katanya kejadian MIS-C boleh berlaku satu dalam 3,200 kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 dengan mereka mengalami gejala sangat teruk seperti demam berpanjangan, tekanan darah rendah, sawan serta keradangan pelbagai organ termasuk jantung, paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata dan saluran usus.

Oleh sebab itu, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bersetuju memberi kelulusan bersyarat kepada vaksin Pfizer pada 6 Januari 2022 untuk kegunaan kanak-kanak lima hingga 11 tahun.

“Namun seperti vaksin lain, Pfizer formulasi khas untuk kanak-kanak boleh memberi kesan sampingan yang biasa dialami seperti sakit di tempat suntikan, kemerahan dan bengkak.

“Tindak balas sistematik pula termasuk keletihan, pening, sakit otot, menggigil dan demam. Kebanyakan kesan vaksin ini adalah ringan dan sederhana serta tidak berpanjangan,” katanya.

Khairy berkata pemberian vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun akan dilancarkan 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur, dengan keutamaan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan kerana lebih terdedah untuk mendapat jangkitan lebih teruk, dimasukkan ke hospital dan kematian.

Untuk rekod, formulasi vaksin Covid-19 untuk program kanak-kanak itu dibekalkan dalam bebuli 10 dos, dan perlu dicampur 1.3ml larutan garam biasa, dengan setiap dos yang diberikan adalah 0.2ml mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini adalah satu pertiga daripada dos digunakan untuk individu dewasa.

Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos dengan sela masa lapan minggu selepas dos pertama. Sela masa ini memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi memberi perlindungan lebih lama.

Selain itu, data juga menunjukkan sela masa tersebut mampu mengurangkan risiko miokarditis dan telah disyorkan oleh badan kesihatan seluruh dunia.

Sehubungan itu, Khairy berkata tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka penghujung Januari ini, dan sebagai permulaan ibu bapa boleh mula mendaftar anak masing-masing sebagai tanggungan dalam aplikasi MySejahtera mereka.

Beliau turut memohon kepada majikan supaya memberi cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak mereka untuk vaksinasi kanak-kanak.

KKM menyasarkan 70 peratus kanak-kanak lima hingga 11 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan daripada tarikh program dilancarkan dan 80 peratus akan menerima dos lengkap dalam tempoh enam bulan pelaksanaan.

Berita berkaitan
Kes baharu Covid-19 seluruh negara catat peningkatan
December 17, 2023· Isu semasa
Saksi kes 1MDB Najib positif Covid-19, perbicaraan disingkatkan
December 15, 2023· Isu semasa
Jumlah kes Covid-19 aktif setakat ini 20,017
December 11, 2023· Isu semasa
Usul pindah RM21 bilion kepada Kumpulan Wang Pembangunan diluluskan
November 30, 2023· Isu semasa
Popular
Ketahui hak harta sepencarian selepas bercerai
January 12, 2022
Iklan ‘duit raya’ GDBET333 dinyahaktif
April 16, 2021
Kembalikan deria bau
November 9, 2021
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024
Lagi Isu semasa terkini
KWSP jual pegangan saham terbesar dalam Affin Bank
April 18, 2024 · Isu semasa
Ringgit ditutup paras RM4.79 berbanding dolar, hampir cecah rekod 1997
April 18, 2024 · Isu semasa
Kesan hapus subsidi, Bank Dunia jangka inflasi Malaysia naik 2.5 peratus
April 1, 2024 · Isu semasa
Polis terima satu lagi laporan bom petrol dilempar ke KK Mart
March 30, 2024 · Isu semasa
Senjata api dimiliki warga Israel dibekal warga tempatan: Polis
March 30, 2024 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Mahathir dakwa SPRM ugut Mirzan untuk dakwa dirinya
January 22, 2024
[VIDEO] Siasat saya senang, yang susah siasat PM sebab ada kuasa, kata Mahathir
January 22, 2024

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok