KKM alu-alukan kerjasama jalankan kajian kebaikan ganja dalam perubatan

Sebarang cadangan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan kajian penyelidikan klinikal kebaikan kanabis atau ganja dalam perubatan sentiasa dialu-alukan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan itu berkata setakat ini KKM tidak menerima laporan penuh mengenai kegunaan CBD atau ‘cannabidiol’ (antara kandungan aktif dalam pokok kanabis) untuk tujuan perubatan tetapi kajian perlu dilakukan bagi membuktikan terdapat kebaikan dalam penggunaan bahan tersebut.

“Sejak kebelakangan ini, banyak perbincangan mengenai penggunaan ganja dalam perubatan.

“Namun, KKM konsisten dalam mengamalkan dasar berasaskan bukti. Sebab itulah kita mengalu-alukan kajian klinikal penggunaan CBD untuk tujuan perubatan,” katanya menerusi ciapan Twitter, hari ini.

Khairy berkata, kerjasama membabitkan industri atau ahli akademik itu boleh diselaraskan dengan Institut Penyelidikan Klinikal dan Clinical Research Malaysia (CRM) yang diwujudkan KKM, sejak 2012.

“Setakat ini, hanya banyak luahan minat, ceramah dan advokasi dalam media sosial.

“KKM amat mengalu-alukan penyelidikan terbabit dimulakan industri atau ahli akademik. Kami sedia bekerjasama,” katanya.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan tangkapan melibatkan seorang artis yang menanam ganja di kediamannya dan difahamkan artis tersebut sedang berdepan penyakit psikologi. Malah didakwa ganja tersebut digunakan bertujuan untuk rawatannya.

 

BERITA BERKAIT
POPULAR