KKM akan siasat dakwaan kit ujian kendiri beri keputusan tak tepat

Susulan aduan dan rungutan orang ramai berhubung isu kit saringan kendiri di pasaran yang tidak mempunyai kualiti dan ketepatan meragukan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat pengeluar yang menjual kit tersebut dipasaran.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakat berkata KKM menerima laporan mengenai rungutan dan aduan orang ramai terhadap ralat keputusan apabila membuat saringan menggunakan kit saringan kendiri yang dijual di pasaran.

Sehubungan itu, katanya, KKM mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk memanggil semua pembekal kit ujian kendiri bagi meneliti isu berkenaan.

“Memang kita ambil maklum mengenai keraguan terhadap kit saringan kendiri menggunakan sampel air liur yang dijual di pasaran kerana dikatakan memberi keputusan negatif palsu.

“Justeru, saya arahkan MDA supaya menyampaikan saranan kepada pembekal untuk meminta maklumat jaminan kualiti daripada pengilang atau pengeluar kit saringan.

“Mereka juga harus semak sama ada proses jaminan kualiti bagi setiap produk kit saringan kendiri itu dibuat dari semasa ke semasa.

“Pada ketika ia diluluskan MDA, ketepatan mungkin 99 peratus tetapi kadar itu mungkin merosot dalam tempoh tertentu,” katanya pada sidang hari ini.

Bermula Oktober tahun lepas, orang ramai boleh mendapatkan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) yang dijual di semua pasar raya dan kedai rangkaian dengan harga berpatutan.

BERITA BERKAIT
POPULAR