KJ ‘sekolahkan’ Anwar, ponteng taklimat buat tuduhan ‘merapu’ dalam isu vaksin

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin menjawab kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dibidas kerana cuba membuat tuduhan liar dan melulu dalam isu pemerolehan vaksin untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Ketua Pembangkang itu juga disifatkan sebagai seorang yang cetek pemahaman mengenai isu berkenaan.

Jelasnya, adalah lebih malang lagi apabila Presiden PKR itu ponteng semasa taklimat berhubung perkara itu, namun dengan semberono membahas isu berkenaan, sehingga menampakkan dirinya sebagai seorang yang tidak cerdik.

“Hari itu saya menjemput anda (Anwar) datang ke taklimat PICK untuk semua MP (ahli Parlimen) di mana soalan-soalan terperinci ditanya, tapi Anwar tak datang dan hari ini buat video tular dan lempar tuduhan tak berasas serta palsu.

“ini jelas kecetekan pemahaman Datuk Seri (Anwar),” katanya dalam video khas menjawab dakwaan terhadapnya malam tadi.

Khairy berkata demikian menjawab dakwaan Anwar dalam videonya mengenai harga vaksin dan tindakan kerajaan yang kononnya cuba mengawal tanpa memberi peluang kepada swasta membelinya.

Mengulas lanjut isu itu Khairy berkata, perkara itu sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai kontrak serta butiran pembelian vaksin.

“Harganya juga wajar dan berpatutan dan sekiranya Anwar ada berhubung dengan rakannya di China dengan maklumat tertentu, maka boleh kirimkan kepada jawatankuasa jaminan akses vaksin untuk kita sahkan betul atau tidak.

“Justeru saya agak keliru di sini dengan Anwar yang mempersoalkan harga vaksin, sebab segalanya telah dibentangkan begitu juga harganya kepada PAC,” katanya lagi.

Khairy juga menjelaskan, sektor swasta sudah bermula berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bekerjasama dalam usaha pemberian vaksin.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, apabila kerajaan memulakan vaksinasi fasa ketiga untuk rakyat keseluruhan, vaksinasi itu akan dibuka kepada pihak swasta dan ini akan dipercepatkan dengan kerjasama syarikat-syarikat besar yang akan terlibat.

“Perkara ini sudah berada dalam rancangan kita tapi sebelum itu kita nak selesaikan dulu vaksinasi untuk warga emas dan golongan OKU dan pada Jun nanti kadar vaksin akan meningkat mempercepatkan pemberiannya,” katanya.

Khairy sebelum ini mematahkan beberapa kali serangan pembangkang dalam isu ini.

Terdahulu Khairy mengambil inisiatif sendiri menghubungi individu dikatakan pemilik syarikat ‘scam’ yang mahu menderma vaksin kepada Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang bagi meminta penjelasan berhubung isu tersebut.

Dalam isu berkaitan Anwar juga dilihat marah selepas pendedahan Khairy berhubung syarikat ‘scam’berkenaan.

Anwar dalam Facebook Live membidas kerajaan berhubung isu derma vaksin tersebut dan menggesa supaya dihentikan monopoli Pharmaniaga dalam urusan pembekalan vaksin kepada negara.

Bagaimanapun difahamkan kemarahan Anwar ini berpunca daripada seorang individu yang dikaitkan dengan syarikat itu yang juga merupakan sahabat karib Anwar dan kedua-dua mereka sering bergambar mesra selain juga pemilik kepada sebuah portal berita, The Vibes.

POPULAR