Kita terus guna AstraZeneca

Kerajaan tidak bercadang untuk menangguhkan pemberian vaksin Covid-19 – AstraZeneca – walaupun ada laporan dari luar negara mengenai kesan sampingannya terhadap penerimanya.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (gambar) berkata, kesan sampingan yang dilaporkan itu adalah alahan yang boleh dirawat selain tiada bukti ia menyebabkan kesan sampingan yang serius atau kematian.

“Apabila berlaku kesan sampingan, doktor di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan memberi rawatan dengan segera dan setakat ini penerima vaksin jenis yang lain juga mengalaminya namun dapat dirawat dengan baik.

“Jangan bimbang kerana kita mempunyai ubat yang dapat merawat alahan yang timbul seperti lenguh-lenguh, demam atau kegatalan pada badan,” katanya hari ini.

Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) sebelum ini memaklumkan bahawa tiada bukti menunjukkan penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 dihadkan di mana-mana populasi, selepas Jerman menangguhkan penggunaannya kerana bimbang pembekuan darah kepada penerima suntikan.

Pakar vaksin bebas di Jerman mengatakan suntikan AstraZeneca tidak boleh diberikan secara rutin kepada individu di bawah usia 60 tahun kerana peningkatan kes pembekuan darah yang dilaporkan beberapa hari selepas divaksin.