‘Kita hantar pulang sisa plastik ke AS’

Malaysia akan menghantar pulang kontena berisi sisa plastik dari Amerika Syarikat. Sumber foto FB Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Malaysia akan menghantar pulang sisa plastik ke Amerika Syarikat (AS) selepas ia melanggar peraturan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan sisa berbahaya, kata Kementerian Alam Sekitar dan Air – satu petanda yang menunjukkan peraturan itu mula dikuatkuasakan.

Dua tahun lalu, lebih 180 negara bersetuju melarang perdagangan sisa plastik yang sukar dikitar semula dalam usaha menghentikan tindakan negara-negara kaya menjadikan negara membangun sebagai tempat pembuangan sisa berbahaya sehingga menimbulkan masalah pencemaran, termasuk di laut.

Peraturan baharu mengikut Konvensyen Basel mula dikuatkuasakan pada Januari lalu. Negara yang menandatangani perjanjian itu hanya boleh mengadakan dagangan sisa plastik jika ia memenuhi kriteria, termasuk bersih dan mudah dikitar semula, atau sekiranya negara pengeksport mendapat kebenaran negara pengimport.

Memetik laporan South China Morning Post, Ketua Unit Komunikasi Korporat Kementerian Alam Sekitar dan Air, Mohamad Khalil Zaiyany Sumiran berkata, penghantaran sisa berbahaya itu masih dalam perjalanan dari AS dan tidak memenuhi kriteria ditetapkan atau tidak mendapat kebenaran import dari kerajaan Malaysia.

“Selepas melakukan siasatan, Malaysia akan menghantar pulang sisa berbahaya itu ke negara asal,” katanya sambil menambah beliau tidak pasti bila kontena berisi sisa plastik itu akan tiba.

Sabtu lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihak berkuasa melarang kemasukan sisa plastik yang dihantar dengan kapal dari Los Angeles, California pada 14 Mac lalu, dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang, Selangor, pada 22 Mac.

AS – negara pengeluar terbesar sisa plastik setiap tahun adalah satu-satunya negara yang tidak menandatangani Konvensyen Basel dan tidak terikat dengan peraturannya. Bagaimanapun, mengikut perjanjian itu, Malaysia tidak boleh menerima sisa plastik dari AS.

Malaysia yang menjadi salah satu destinasi pembuangan sisa plastik selepas China mengharamkan importnya pada 2018, dan telah menghantar pulang ribuan tan sisa plastik ke negara asal.

Lebih 75 peratus plastik untuk dikitar semula di Malaysia, Thailand dan Filipina dibiarkan menjadi sampah.

POPULAR