Kita bangunkan kaedah beri vaksin melalui mulut, semburan hidung

Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sedang membangunkan kaedah pemberian vaksin melalui mulut dan semburan hidung, menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata kaedah pemberian vaksin yang berbeza selain melalui suntikan itu sedang diteliti kerana terdapat rakyat yang takut terhadap jarum picagari bagi mendapatkan vaksin, lapor Bernama.

“Seperti yang kita ketahui antara yang menjadi ketakutan rakyat (mendapatkan vaksin) ialah takut kepada jarum suntikan, maka antara pembangunan yang sedang diusahakan termasuk pemberian vaksin secara oral (mulut) dan nasal spray (semburan hidung),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan sama ada PPVN tertumpu kepada vaksin Covid-19 sahaja atau vaksin-vaksin yang lain serta tempoh pembangunan vaksin Covid-19.

Ahmad Amzad menjelaskan PPVN tidak tertumpu kepada penghasilan vaksin Covid-19 semata-mata, tetapi turut melibatkan kapasiti secara umumnya bagi membolehkan Malaysia menghasilkan vaksin untuk penyakit manusia secara tempatan.

Beliau berkata buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai kapasiti untuk menghasilkan vaksin haiwan sahaja.

“Berkaitan tempoh 10 tahun (PPVN) adalah daripada segi pembangunan kapasiti supaya dalam 10 tahun, kita ada kapasiti untuk menghasilkan sepenuhnya pengeluaran vaksin secara tempatan.

Berkenaan calon untuk vaksin, Ahmad Amzad berkata terdapat beberapa yang telah melepasi fasa praklinikal dan selepas ini akan menjalani ujian terhadap manusia.

“Insya-Allah kalau melihat kepada tahap kajian yang telah dilaksanakan itu, sekitar 2024 kita ada calon vaksin Covid-19 yang pertama,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR