
Bacaan kedua Bajet 2023 dijangka diadakan pada Jumaat (7 Oktober 2022.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menggesa Dewan Rakyat mengadakan pendengaran awam untuk mencari sebab bagaimana Parlimen ke-13 dihalang daripada mendedahkan skandal kewangan terbesar dunia membabitkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Pada masa sama beliau berkata langkah itu akan dapat memastikan Dewan Rakyat tidak akan disalahgunakan lagi untuk menutup skandal kewangan dalam negara.
Susulan itu, beliau memberikan notis untuk bertanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta butiran penyelesaian saman Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan serta Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung pemecatan sebagai Peguam Negara (AG) pada Mei 2018, dan sama ada wajar Apandi bertindak sebagai peguam yang mewakili ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low mengenai skandal 1MDB.
Dalam satu kenyataan hari ini (28 Julai), Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata tiga soalan yang dijadualkan dijawab hari ini tidak terdapat dalam Kertas Perintah Parlimen.
“Walaupun soalan itu tidak akan muncul di Parlimen hari ini (Khamis), Apandi mempunyai tanggungjawab awam sebagai bekas peguam negara untuk memberi jawapan,” katanya.
Kit Siang berkata Apandi telah menyaman kerajaan kerana pemecatan salah, mendakwa bahawa dia berhak mendapat ganti rugi khas lebih RM2.23 juta, termasuk kehilangan saraan berjumlah RM1,285,213.68 dari 27 Julai 2018 hingga 26 Julai 2021 (atau RM35,700.38 dalam imbuhan bulanan melebihi 36 bulan atau tiga tahun) sebagai AG.
“Adakah pembayar cukai Malaysia membayar untuk dua peguam negara dari Julai 2018 hingga Julai 2021 – seorang di pejabat dan seorang lagi di luar pejabat?
“Sudah seminggu sejak penghakiman 100 muka surat Hakim Datuk Azimah Omar dalam saman fitnah Apandi terhadap saya didedahkan kepada umum Khamis lalu, dan Apandi gagal menjawab empat soalan yang diketengahkan oleh hakim Azimah dalam perbicaraan fitnah itu.
“Malah, Apandi gagal menjawab soalan-soalan ini sejak dua bulan lepas sejak penghakiman diumumkan pada 23 Mei,” katanya.
Kit Siang berkata Apandi tidak menunjukkan minat untuk mengetahui siapa “Malaysian Official 1” (MO1), walaupun orang itu digambarkan dalam saman litigasi Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pada Julai 2016 sebagai “pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan berkuasa dengan 1MDB”.
“…dan Apandi tidak begitu berminat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mengakui kepada BBC pada September 2016 bahawa MO1 adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Adakah Apandi pernah bertanya Najib sama ada dia MO1? Atau adakah setiap rakyat Malaysia yang berilmu tahu bahawa MO1 adalah Najib, kecuali Apandi?
“Tetapi bukan sahaja AG yang mesti menjawab peranannya dalam menutup skandal 1MDB.
“Parlimen ke-13 dihalang daripada mendedahkan skandal 1MDB, dan menjadi pihak yang menutup skandal ‘kleptokrasi paling teruk’ kerana Speaker berat sebelah,” katanya.