
Beberapa Ahli Parlimen (MP) mengepung MP Kota Belud Isnaraissah Munirah (tudung biru) bagi menghalang bentara Dewan Rakyat mengiringinya keluar dewan semalam, 18 Julai 2022. - Gambar Astro
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mendakwa keputusan sub judice Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun yang tidak membenarkan perbahasan mengenai rampasan aset Petronas oleh pewaris kesultanan Sulu mesti dicabar kerana ia melanggar empat hak asasi.
Empat hak asasi yang didakwa beliau ialah
- Kebebasan bersuara, yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia;
- Kedaulatan Sabah;
- Peranan Parlimen sebagai dewan politik tertinggi di negara ini; dan
- Integriti pegawai awam, kerana Speaker adalah adik kepada Peguam Negara, mewujudkan isu konflik kepentingan yang jelas.
Dalam satu kenyataan hari ini (19 Julai), Kit Siang berkata Parlimen tidak boleh kembali ke zaman Parlimen ke-13, di mana peraturan sub judice telah disalahgunakan untuk menyekat sebarang semakan Parlimen dan mempersoalkan skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Perkara menjadi kecoh semalam, apabila Ahli Parlimen (Warisan) Kota Belud Isnaraissah Munirah digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selepas dia tidak mengendahkan arahan Speaker, dan berkeras untuk mengadakan usul bagi membahaskan tuntutan ke atas Sabah oleh waris kesultanan Sulu.
Usul yang ditolak kali ketiga di Dewan Rakyat itu menjadi topik perbincangan hangat sehingga mencetuskan perang mulut antara beberapa ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Speaker serta timbalannya Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Azhar juga berkata beliau telah menerima pandangan undang-undang bahawa usul itu benar-benar satu perkara sub judice kerana terdapat satu atau dua prosiding yang sedang berjalan.
Mengulas lanjut, Kit Siang berkata Speaker perlu menyemak sendiri keputusan itu, atau Ahli Parlimen Kota Belud perlu mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat untuk menyemak keputusan Speaker.
“Kedua-dua Speaker dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mesti memberi jaminan bahawa masa akan diperuntukkan untuk Parlimen menyemak keputusan Speaker – sama ada pada Khamis atau Isnin depan,” katanya.