Kilang, premis perniagaan antara 49 premis diarah tutup semalam

Masih terdapat banyak kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semalam sahaja sebanyak 49 lagi premis diarahkan tutup kerana ingkar mengikut peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia adalah hasil penguatkuasaan secara menyeluruh pasukan petugas operasi pematuhan melibatkan 80,868 pemeriksaan dan pemeriksaan mengejut terhadap kilang, premis perniagaan, tapak pembinaan dan asrama penempatan pekerja.

“Semalam juga, 337 individu lagi ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, seramai 332 individu dikompaun dan lima direman,” katanya lapor Bernama.

Bagi Op Benteng pula, menurutnya lima imigran ditahan dan tujuh kenderaan darat dirampas.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sembilan lagi PKPD dilaksanakan melibatkan Perak, Pahang, Kedah dan Sabah mulai 26 Julai hingga 8 Ogos ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata keputusan itu diambil setelah sidang khas Majlis Keselamatan Negara meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan dan mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di kesemua lokaliti berkenaan.

Menurutnya kawasan terlibat di Sabah ialah di Kampung Lajau dan Kampung Kota Klias, Beaufort; Perumahan Ladang Kim Loong, Beluran; Kampung Tungkang, Kudat dan Kampung Telisai, Tungku di Lahad Datu.

Dua lokaliti di Perak yang dikenakan PKPD ialah Medan Klebang Restu (Mukim Chemor) dan Bandar Pulai Jaya (Mukim Sungai Raia) di daerah Kinta.

Sementara itu di Pahang, ia melibatkan lokaliti di Blok 5 FELDA Keratong 7, Muadzam Shah di Rompin selain PKPD di kawasan Asrama Pekerja dan Tapak Bina Hospital Pendang, Kedah.

Ismail Sabri berkata PKPD di QL Farm Membalua, Tawau; Kampung Pikat, Bongawan, Papar; Penjara Kepayan, Kota Kinabalu; Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud; serta tiga lokaliti iaitu Kampung Suang Parai, Taman Kingfisher Sulaman dan Bandaran Berjaya di Kota Kinabalu, Sabah ditamatkan esok seperti dijadualkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR