Kikis amalan zaman Ahli Dewan Negara dahulu, ketengah realiti: Rais

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim menggesa Ahli Dewan Negara mengetengahkan realiti dalam menjalankan tanggungjawab yang ditugas kepada mereka.

Beliau juga mengingatkan perkhidmatan mereka tidak hanya berakhir setelah loceng Parlimen dibunyikan sebaliknya meneruskan tanggungjawab sebaik mungkin dan menunaikan segala sumpah yang dilafazkan dengan penuh amanah kerana Dewan Negara ketika ini sedang melalui fasa transformasi, lapor Bernama.

“Zaman Ahli Dewan Negara seperti dahulu harus dikikis dan Ahli Dewan Negara yang baharu perlu jadikan sebagai realiti dan senarai tugas telah diberikan dan diharapkan Ahli Yang Berhormat menggunakan kepakaran masing-masing untuk menjuarai apa-apa juga bidang yang terpalit dengan tugasan tersebut.

“Tugas dan khidmat kita tidak berakhir pada bunyi loceng Parlimen sebaliknya khidmat kita lantas terus di lapangan rakyat sama ada di kampung dan pekan, di bandar dan luar bandar,” katanya.

Rais turut menekankan supaya Ahli Dewan Negara tidak membaca teks perbahasan secara keseluruhannya sebaliknya berbahas mengikut lunas di Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 36.

Terdahulu dua Ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan beliau.

Mereka ialah Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad Datuk Dr Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Azhar dan Mohd Ridhwan adalah lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai hari ini hingga 20 Mac 2025.

Dalam pada itu, Rais turut memaklumkan Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Senator Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di luar dewan pada 20 Jan 2022.

Kedua-dua mereka adalah lantikan baharu oleh Dewan Undangan Negeri Perak.

BERITA BERKAIT
POPULAR