Khutbah Jumaat Selangor: Kalimah Allah hanya untuk penganut Islam, bukan untuk agama lain

May 26, 2023 · Isu semasa

Susulan kontroversi isu penggunaan kalimah Allah baru-baru ini, khutbah Jumaat Selangor hari ini menggesa agar penggunaan kalimah suci itu hanya dibenarkan kepada penganut Islam dan bukan untuk agama lain.

Dalam teks khutbah hari ini (26 Mei 2023) yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), peringatan diberikan berhubung titah Sultan Selangor yang tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian.

“Baginda menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam Kitab Bible (terjemahan Bahasa Melayu) atau percetakan apa-apa buku dan tulisan agama Kristian dalam apa-apa bentuk sekali pun tetap dilarang penggunaannya di Negeri Selangor.

“Titah baginda berpandukan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor mengenai isu tuntutan penganut Kristian terhadap penggunaan kalimah Allah yang diwartakan pada 18 Februari 2010,” menurut teks khutbah tersebut.

Teks khutbah itu dibaca di seluruh masjid yang mengadakan solat Jumaat hari ini.

Tegas khutbah itu lagi, sebarang bentuk penggunaan kalimah Allah oleh agama lain di Selangor adalah menjadi kesalahan.

“Dalam masa yang sama, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Tahun 1988 telah dikuatkuasakan di Negeri Selangor yang telah menetapkan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah suatu kesalahan untuk digunakan oleh penganut agama bukan Islam.

“Ini turut diperkuat dengan kedudukan undang-undang berkaitan halangan dan larangan penggunaan kalimah Allah yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada Tahun 2014 dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur.

“Dalam kes ini mahkamah memutuskan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam penerbitan agama Kristian,” katanya lagi.

Khutbah juga menyentuh berhubung penggunaan kalimah Allah yang tidak terdapat dalam kitab Injil berbahasa Inggeris yang sebaliknya menggunakan perkataan ‘God’ dan menegaskan sekali lagi kalimah Allah hanya ekslusif boleh digunakan penganut Islam.

“Buktinya, Bible edisi Bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah Allah sama sekali sebaliknya menggunakan perkataan ‘God’ merujuk Tuhan Bapa dan ‘Lord’ merujuk Tuhan Anak. Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan ‘God’ dengan kalimah Allah?

“Sehubungan dengan itu, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain agama Islam adalah suatu perkara yang menyanggah konsep keesaan Allah SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.

“Kalimah Allah ialah nama khas yang merujuk kepada tuhan dalam agama Islam. Apabila disebut nama khas maka ianya adalah khusus, istimewa, ditentukan atau diperuntukkan hanya kepada penamanya.

“Tidak sebagaimana kata nama am yang boleh digunapakai kepada kelompok umum seperti tuhan, manusia atau haiwan. Allah SWT adalah nama Tuhan kepercayaan umat Islam. Justeru, apakah agama yang menuntut penggunaan kalimah Allah ini tidak mempunyai nama tuhannya?” kata khutbah itu lagi.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021, selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill, yang memohon perisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, tindakan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan oleh penganut Kristian, juga tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja.

Berita berkaitan
PN bawa usul berkait kalimah ALLAH ke Parlimen
7 jam lalu· Isu semasa
Melayu mudah lupa sokong PH, Hadi gesa jangan sokong pembohong
June 1, 2023· Politik
Ringgit jatuh, MP Bachok kata kerana tiada Menteri Kewangan sepenuh masa
June 1, 2023· Isu semasa
Isu air: PMX sahkan permohonan awal RM8 bilion oleh kerajaan Kelantan ditolak
June 1, 2023· Isu semasa
Popular
Isu air: PMX sahkan permohonan awal RM8 bilion oleh kerajaan Kelantan ditolak
June 1, 2023
PN hantar 3 soalan untuk Anwar jawab di Parlimen
June 2, 2023
Jho Low : Agensi keselamatan Macau kecam SPRM
June 2, 2023
Ringgit jatuh, MP Bachok kata kerana tiada Menteri Kewangan sepenuh masa
June 1, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Menteri akui bekalan air di Sabah kritikal
1 jam lalu · Isu semasa
Jho Low : Agensi keselamatan Macau kecam SPRM
3 jam lalu · Isu semasa
PN hantar 3 soalan untuk Anwar jawab di Parlimen
4 jam lalu · Isu semasa
Kerajaan perlu dedah semua laporan dalam skandal projek LCS, gesa C4
June 1, 2023 · Isu semasa
Anwar nafi jadi punca kejatuhan nilai ringgit
June 1, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Perikatan Nasional tak serang peribadi saya macam PH-UMNO
June 1, 2023
[VIDEO] Khairy akan bertemu Muhyiddin dalam masa terdekat
June 1, 2023

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok