Khairy sendiri hubungi syarikat ‘scam’ yang mahu derma vaksin

Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengambil inisiatif sendiri menghubungi individu dikatakan pemilik syarikat ‘scam’ yang mahu menderma vaksin kepada Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang bagi meminta penjelasan berhubung isu tersebut.

Langkah itu diambil selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilihat cuba menyalahkan syarikat tersebut dalam isu derma vaksin susulan pendedahan Khairy yang mendapati syarikat yang memberikan tawaran itu sebenarnya tidak wujud.

“Pegawai saya sudah berhubung dengan individu yang dikatakan Yong Chee Kong. Pegawai saya bertanya sama ada terdapat bukti derma supaya kita dapat menyelaras (menempah vaksin Sinovac). Beliau (Chee Kong) menjawab tidak ada. Beliau berkata wangnya disimpan dalam akaun di Hong Kong.

“Pegawai saya kemudian bertanya sama ada beliau boleh menunjukkan bukti derma tersebut atau membuat sumbangan rasmi kepada Kerajaan Malaysia yang akan kami serahkan kepada Kerajaan Pulau Pinang. Bukan membayar kepada mana-mana syarikat. Namun, beliau menolaknya,” kata Khairy dalam kenyataan di akaun Twitternya.

Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berbahasa Inggeris melaporkan Yong Chee Kong, individu yang menghantar surat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, mendedahkan surat permohonan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ‘palsu’.

Malah beliau menuduh surat rasmi itu direka sendiri kerajaan negeri dan bukan datang daripadanya.

Memetik laporan itu,Chee Kong berkata sebenarnya mahu menyumbang vaksin berkenaan kepada kerajaan negeri Sabah, bagaimanapun tidak menerima sebarang maklum balas.

Chee Kong juga menjelaskan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ada menghubunginya untuk mendapat sumbangan dan bukan syarikat yang menghubungi kerajaan negeri itu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini mendakwa bakal menerima derma dua juta dos vaksin Covid-19 secara percuma bagi diagihkan kepada rakyatnya, bagaimanapun tidak dapat berbuat demikian kerana kononnya tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mendedahkan siasatan kementeriannya mendapati syarikat yang memberikan tawaran itu sebenarnya tidak wujud.

POPULAR
Cemas tertukar bayi di hospitalJune 13, 2021
Malaysia sedang bangunkan dua vaksin Covid-19 sendiriJune 12, 2021
Polis tahan lori bawa 48 pekerja kilang proses ayam positif Covid-19June 14, 2021
Masjid tak ditutup, aktiviti hanya ditangguh, kata Mufti KelantanJune 13, 2021
Agong yakin langkah kerajaan tadbir negara, tangani Covid-19June 13, 2021
PM yakin Kuala Lumpur capai imunisasi kelompok menjelang 31 OgosJune 13, 2021