
Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion.
Dakwaan kononnya ubat yang diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak ditukar selepas dirawat di Hospital Kuala Lumpur disangkal Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy menjelaskan ubat sama diberikan kepada bekas Perdana Menteri yang kini bergelar banduan bagi merawat tekanan darah tinggi dihidapinya dan menyifatkan dakwaan pegawai khas Najib, Mukhlis Maghrib dan ahli keluarga Ahli Parlimen Pekan itu semalam tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Najib diberikan ubat (untuk) tekanan darah tinggi. Tetapi diberi ubat generik. Ubat yang sama.
“Dia dulu ambil ubat ‘original’ sebab dia beli daripada hospital swasta. Bila dirujuk di HKL, kita ada ubat formula sama yang diberi di hospital kerajaan. Ubat itu sama. Formula sama. Tetapi bentuk generik,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan (KKM) dipetik laporan media.
Jelas Khairy lagi, tuduhan ubat ditukar seolah-olah memberi gambaran bahawa ubat berbeza adalah tidak benar.
“Ubat generik ini kandungan sama. Penjelasan ini penting kerana terdapat tuduhan daripada pegawai dan ahli keluarga Najib,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata semua banduan di penjara termasuk Najib akan diberikan rawatan terbaik.
Beliau juga berkata saranan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam supaya Najib diberi rawatan terbaik akan diikuti.
“Kita akan berikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada semua banduan. Bukan hanya Najib. Ini memang tugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kita bagi rawatan terbaik kepada semua,” katanya.
Katanya, Najib buat masa ini dirawat di HKL dan bukan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata prosedur untuk banduan penjara dirujuk di hospital kerajaan dan Najib perlu dirujuk di HKL.
“Saya dimaklumkan Najib dalam keadaan sihat,” katanya.
Terdahulu, perbicaraan Najib dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB)-Tanore yang sepatutnya berlangsung hari ini (13 September 2022) ditangguhkan dimasukkan ke hospital.
Peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu kepada mahkamah ketika prosiding ringkas pagi ini, di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Collin Lawrence Sequerah.
“Beliau (Najib) kini dimasukkan ke wad di (Hospital Kuala Lumpur atau HKL). Saya diberitahu setakat pagi ini, pada 7.30 pagi dan 9.30 pagi, kemungkinan ujian tertentu dilakukan ke atasnya mungkin mengambil masa beberapa hari lagi.