
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menafikan menerima wang daripada UKSB dan sedia disiasat.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini menafikan menerima wang tunai sumbangan syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd yang dilaporkan memberi dana kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bagi memperoleh kontrak sistem visa luar negara (VLN).
Ahli Parlimen Rembau berkata beliau bersedia untuk disiasat berhubung dakwaan yang dibuat oleh bekas kakitangan UKSB semasa memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Zahid.
“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima apa-apa secara peribadi seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Saya tidak pernah menerima sebarang wang seperti yang disebut dalam perbicaraan kes. Saya sedia memberi kerjasama sekiranya pihak berkuasa memanggil saya,” kata bekas Ketua Pemuda UMNO itu pada sidang media hari ini.
Pada 13 Jun lalu, bekas Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa Khairy adalah penerima tidak langsung sumbangan kewangan firma itu kepada UMNO bahagian Rembau.
Wan Quoris Shah yang juga ahli UMNO memaklumkan bahawa sejumlah antara RM50,000 dan RM200,000 diberikan kepada Khairy melalui UMNO Bahagian Rembau untuk tujuan rasmi politik, kemanusiaan dan sosial yang diuruskan parti itu.
Khairy kini merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau tetapi pernah mengetuainya sebelum ini.
Sebelum ini, huruf awalan “KJ” terdapat dalam lejar milik UKSB untuk bayaran tunai berjumlah ribuan ringgit yang dibuat kepada beberapa individu berprofil tinggi.
Pada 17 Jun lalu, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang namanya juga turut disebut sebagai penerima wang UKSB, menafikannya, sambil menjelaskan pada tarikh yang disebut, beliau menjalani pembedahan kanser dan bercuti.
Semalam, bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman turut menafikan menerima wang daripada UKSB.
Selain Muhyiddin, Anifah dan Khairy yang disebut ketika perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO itu, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; dan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, turut didakwa menerima wang daripada UKSB.
Zahid, 69, kini berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN, serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh kementerian terbabit.
Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa sebagai menteri sama ketika itu, mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.
Zahid didakwa melakukan semua kesalahan itu di Sri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.