Khairy jelaskan isu peruntukan RM70 juta, boleh pilih vaksin di MySejahtera

Peruntukan sebanyak RM70 juta bagi mengintegrasi data dan sistem temu janji bukan untuk laman sesawang pendaftaran tempahan vaksin Covid-19, AstraZeneca semata-mata.

Sebaliknya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata peruntukan itu juga diguna untuk tujuan lain.

“RM70 juta itu bukan hanya untuk laman web sahaja tetapi meliputi semua yang telah saya senaraikan dalam kenyataan rasmi saya sebelum ini, dan itu pun adalah ‘siling’ dan tidak semestinya adalah peruntukan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan,” katanya.

Pada sidang media secara maya hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu turut memohon maaf kepada individu yang berdepan masalah ketika membuat pendaftaran vaksin AstraZeneca pada Rabu.

“Sekali lagi bagi pihak Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dan kerajaan Malaysia, saya mohon maaf kepada mereka yang berhadapan dengan kesulitan semalam dengan sistem tempahan kita.

“Saya terima segala kritikan dan segala cemuhan. Saya faham rakyat inginkan vaksinasi mereka secepat mungkin. Sebab kita melihat kes sedang meningkat, vaksinasi memberi satu perlindungan yang baik kepada rakyat kita,” katanya.

Khairy berkata, beliau memahami kesulitan yang dialami rakyat ketika melayari laman web untuk membuat tempahan vaksin itu, dan siasatan telah dijalankan berkaitan masalah yang timbul itu.

Semalam, pelbagai pihak menyatakan rasa tidak puas hati apabila sukar mengakses sistem pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca untuk rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun.

Sementara itu, Khairy juga berkata kerajaan memutuskan untuk kembali memasukkan AstraZeneca dalam senarai vaksin arus perdana PICK.

Sehubungan itu, kaedah pemberian vaksin AstraZeneca tidak lagi diteruskan secara sukarela, sebaliknya ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh akan datang.

Beliau berkata masyarakat kini sudah tidak lagi meragui vaksin AstraZeneca dan ia diterima baik dalam kalangan rakyat di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang melihat kemudahan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 yang mungkin diberikan kepada orang ramai melalui MySejahtera yang akan dikemaskini dalam tempoh terdekat.

“Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah sukarela ini, ia dibuat apabila ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca.

“Ia disebabkan beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah. Maka, kaedah sukarela dibuat berdasarkan keputusan ‘inform decision’ oleh individu terbabit,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR