Khairy jawab Kit Siang di Dewan Rakyat, tapi Kit Siang ponteng sesi pagi

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang ponteng sesi Dewan Rakyat hari ini mendesak penjelasan dari Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook berhubung situasi buruk kes kematian Covid-19 yang dicatatkan negara semalam.

Kit Siang tidak kelihatan berada dalam Dewan Rakyat  ketika Khairy sedang menggulung di Dewan Rakyat pada sesi pagi hari ini, tidak pasti Ahli Parlimen (MP) Iskandar Puteri tersebut hilang kemana.

Terdahulu, Kit Siang dalam satu hantaran di Facebook bertanya kepada Khairy punca kepada kes kematian yang tinggi direkodkan.

Semakan dalam siaran langsung semasa sesi pagi Parlimen hari ini, bayang batang hidung tidak kelihatan tetapi terdapat beberapa MP pembangkang lain dalam Dewan Rakyat yang bangkit bertanya soalan kepada Khairy semasa sesi penggulungan tersebut.

Kit Siang juga tidak nampak bangun di kerusinya untuk bertanyakan soalan kepada Khairy.

Dalam penggulungan hari ini, Khairy berkata bagi purata kes kematian dalam tempoh tujuh hari pada bulan Ogos adalah 251 kes berbanding September iaitu 106 kes manakala berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan, sebanyak 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah dari kategori 1 dan 2 dan hanya perlu kuarantin di rumah.

“Sebanyak 10.7 peratus dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan yang masuk hospital adalah 5.1 peratus manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus.

“Ini bukan tujuan memberi gambaran yang baik sahaja tetapi lebih bertujuan memberi perincian yang lebih teliti berkenaan kes dihadapi hari ini supaya pengurusan pandemik dapat dibuat dengan teratur dan bersasar,” katanya.

Jelasnya lagi, bagi jumlah keperluan Unit Rawatan Rapi (ICU) pada 23 Ogos adalah sebanyak 1,542 unit namun hari ini menurun kepada 1,114 unit.

“Walaupun ketika ini penularan kes Covid-19 masih tinggi dan kita masih menguruskan dengan sebaik mungkin, namun berdasarkan indikator penting.

“Ia telah mula menunjukkan tren penurunan dan memberi sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik,” katanya lagi.

Terdahulu, Kit Siang berkata Khairy harus menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan angka kes kematian akibat Covid-19 terburuk dan juga angka kes kematian akibat Covid-19 yang dibawa ke hospital (BID) terburuk semalam sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kesihatan yang baharu pada 24 hari lalu pada 30 Ogos.

BERITA BERKAIT
POPULAR