Khairy harap rakyat patuh SOP, tak ikut kesilapan kerajaan langgar SOP

Rakyat diharapkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung Covid-19 dan tidak mengikut langkah kerajaan yang mengabaikan SOP ditetapkan, kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menteri Kesihatan itu mengakui kekhilafan pihak kerajaan yang gagal memastikan SOP semasa program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada Khamis lalu dipatuhi, bagaimanapun menggesa orang ramai tidak melakukan kesilapan seperti yang dilakukan pihak pemerintah.

“Tapi janganlah disebabkan kesilapan kami di pihak kerajaan, rakyat enggan patuh kepada SOP. Kita kena sentiasa sama-sama berjuang menentang pandemik ini,” katanya semasa program Bicara Naratif Khas di RTM1 semalam.

Khairy mengakui kesilapan yang dilakukan oleh pihak kerajaan semasa sambutan pada Khamis lalu dan memohon maaf atas kesalahan tersebut serta berjanji ia tidak akan berulang lagi.

“Saya sedar rakyat sedang marah disebabkan apa yang telah berlaku pada acara yang sepatutnya meraikan kejayan kerajaan.

“Namun, kekhilafan telah berlaku dengan beberapa insiden kesesakan yang saya sangat kesali.

“Kita minta maaf kepada rakyat tentang apa yang berlaku, tapi kita kena pandang ke hadapan. Kerajaan juga akan belajar daripada insiden yang berlaku dan kita akan buat lebih baik untuk masa akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy menegur Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri yang disifatkan lemah dan gagal dalam menjalankan tugas sepanjang menganjurkan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, antaranya menghantar mesej mengajak pengunjung beramai-ramai memeriahkan program berkenaan.

Bagi penganjuran program akan datang, Khairy menyarankan kerajaan menggunakan agensi atau kementerian yang sudah biasa menganjurkan acara besar seumpamanya, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Pihak penganjur juga dikenakan didenda RM1,000 kerana tidak patuh kepada protokol dan SOP ditetapkan.

Program itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mendapat sambutan menggalakkan, khususnya daripada warga Lembah Klang, sehingga menimbulkan keresahan masyarakat kerana pada awalnya tidak mematuhi SOP.

Melalui gambar dan klip video yang tular di media sosial, orang ramai yang hadir pada program itu bersesak-sesak, tanpa penjarakan sosial, sehingga menimbulkan kebimbangan berlakunya penularan Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR