
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar kini menjadi Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang baharu.
Walaupun dipecat UMNO dan tidak sempat bertanding dalam pemilihan parti, namun Khairy menawarkan diri dalam pemilihan jawatankuasa PKBM yang berlangsung hari ini di Melaka.
“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak, maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya dipetik laporan BH.
Untuk rekod, Khairy sebelum ini tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di kerusi Parlimen Sungai Buloh, November tahun lalu.
Khairy atau turut dikenali sebagai KJ yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, dipilih sebagai naib presiden 5 apabila meraih berjaya meraih 33 undi manakala Datuk Amarjit Singh diangkat naib presiden 1 dengan 71 undi.
Seramai 10 calon bertanding bagi merebut jawatan berkenaan, namun hanya lima terpilih.
Dalam pada itu mengikut kenyataan sama PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab kekal menjawat jawatan presiden badan induk berkenaan buat penggal kesembilan berturut-turut apabila menang tanpa bertanding.
Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) akan menyandang jawatan berkenaan bagi penggal 2023-2026.
Jawatankuasa Tertinggi PKBM penggal 2023-2026
Presiden: Datuk Abu Samah Abd Wahab (menang tanpa bertanding)
Timbalan Presiden: Mazlan Md Jail (45 undi)
Naib Presiden 1: Datuk Amarjit Singh (71 undi)
Naib Presiden 2: Mohd Saiful Abd Jalil (54 undi)
Naib Presiden 3: Dr Zaim Ahmad (46 undi)
Naib Presiden 4: Norazman Abu Samah (42 undi)
Naib Presiden 5: Khairy Jamaluddin (33 undi)