
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali, keluar daripada PAS pada 14 Mac 2022 lalu.
Selepas penafian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali semalam yang mendakwa bukan individu yang ditahan semasa Sekatan Jalan Raya (SJR) di kawasan Perasing, Polis Terengganu mengeluarkan kenyataan sebaliknya berhubung isu tersebut.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi disahkan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik ada dikesan melalui SJR berkenaan pada 16 Mei lalu dan kes tersebut sedang dalam siasatan ketika ini.
“Betul, kejadian itu berlaku pada 16 Mei lalu. Polis sedang melakukan siasatan dan kes telah diambil oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, Agenda Daily melaporkan pemimpin PAS itu menafikan ditahan semasa SJR di kawasan Perasing, bersama seorang wanita yang dikatakan sebagai bekas isteri seorang artis, Mawar Abdul Karim.
beliau juga menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa sudah berkahwin dengan ahli perniagaan tersebut dan menyifatkan semua dakwaan itu sebagai satu fitnah terbaharu daripada mereka dengki kepada beliau.
“Semoga Allah membalas segala fitnah mereka dengan sehina-hinanya!,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Beliau juga berkata akan membuat laporan polis pada 28 Mei 2021 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu berhubung dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang untuk menegakkan kebenaran.
“Saya akan keluarkan kenyataan penuh sejurus selesai membuat laporan Polis,” tegasnya.
Baru-baru ini tular dalam mesej WhatsApp meelibatkan Khairudin bersama wanita yang dikatakan Mawar itu semasa ditahan dalam SJR di Perasing.
Mawar yang pernah menjadi isteri kepada pelakon popular Fizo Omar didakwa dilihat berada di dalam kereta yang sama dalam kereta Khairudin.