
Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berjaya memenangi kesnya berhubung penahanan tidak sah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 2015.
Khairuddin akan dibayar ganti rugi sebanyak RM300,000 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan penahanannya di Penjara Sungai Buloh selama 60 hari itu dibuat menyalahi undang-undang.
Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon hari ini kepada Khairuddin yang juga Pengerusi Parti Pejuang Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, Chew Soon menolak dakwaan Khairuddin bahawa kerajaan membuat pendakwaan berniat jahat terhadapnya.
Pada Mei 2018, Khairuddin selaku plaintif memfailkan saman terhadap lapan defendan susulan penahanan dan pendakwaannya mengikut SOSMA.
Defendan pertama hingga keempat adalah dua pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman iaitu Asisten Superintenden Wan Aeidil Wan Abdullah, Asisten Superintenden C Muniandy, Superintenden Habibi Majinji selaku Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan juga bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Turut dinamakan adalah Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud; Peguam Kanan Persekutuan, Awang Armadajaya Awang Mahmud; bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan kerajaan Malaysia, selaku defendan kelima hingga kelapan.
Khairuddin mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September, tetapi ditahan semula mengikut SOSMA.
Dia kemudian dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Secara keseluruhan, plaintif ditahan selama 60 hari di Penjara Sungai Buloh dan pada 12 Mei 2017, mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan tidak akan meneruskan kes itu terhadap plaintif sebelum Khairuddin dilepas serta dibebaskan daripada pertuduhan.