
Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan hari ini menafikan beliau menerima bayaran daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), syarikat tempatan yang mendakwa memberi berjuta-juta kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mendapatkan sokongan dalam mendapatkan kontrak Sistem Visa Asing luar negara (VLN).
Shahril adalah antara pemimpin politik terbaharu yang disebut oleh bekas Pengurus Pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, ketika memberi keterangan sebagai saksi perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO itu.
“Saya ingin menyatakan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali,” kata Shahril, yang juga Pengarah Ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasminya petang ini.
“Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yg kononnya mengandungi nama ‘S Pat’ mahupun kandungan lejar tersebut.
“Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini,” katanya.
Ketika disoal pihak pembelaan hari ini, Tan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Shahril menerima sejumlah RM1.16 juta untuk tujuan pembiayaan politik kerana menjadi sekutu rapat Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Tan sebelum ini mengesahkan catatan yang dibuatnya dalam lejar yang dimilikinya untuk tujuan simpan kira mengenai pembayaran tunai yang dibuat oleh UKSB kepada pelbagai ahli politik, kakitangan kerajaan dan Zahid sendiri ketika disoal balas oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh.
Tan merujuk Shahril sebagai “S Pat” dalam lejarnya, yang ditunjukkan kepada mahkamah hari ini.
Shahril dinamakan antara tiga lagi ahli politik Barisan Nasional yang didakwa menerima sumbangan kewangan untuk tujuan pembiayaan politik yang diberikan oleh UKSB. Dua lagi ialah bekas pemimpin MCA Tan Sri Chan Kong Choy dan Tan Sri Ong Ka Chuan.
Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah S$13.56 juta (RM42 juta) daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya sebagai penjawat awam dan menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali OSC di China dan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian untuk membekalkan peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.
Untuk tujuh pertuduhan lagi, presiden Umno sekarang didakwa sebagai menteri dalam negeri memperoleh wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 untuk dirinya sendiri daripada syarikat yang sama berhubung kerja rasminya.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.