Ketua Armada lawat pemuzik OKU beri bantuan, tak jumpa TPM

Berbeza dengan Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang melawat pejabat Timbalan Perdana Menteri (TPM) baharu semalam, Ketua Armada Bersatu hari ini melawat pemain muzik orang kurang upaya (OKU) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bergegas mencari pemain dram kumpulan muzik terkenal Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, selepas menerima laporan berhubung kesusahan hidup yang sedang dihadapinya dan berjanji akan membantunya dalam mencari pendapatan sampingan semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kita akan raih sumbangan secepat mungkin bagi membeli set dram elektrik untuk beliau mencari nafkah hidup secara dalam talian,” katanya lapor Bernama.

Fendy terpaksa menjual dua set dram yang sebelum ini menjadi punca mata pencarian Fendy telah dijual sebagai usaha untuk menampung perbelanjaan harian termasuk perbelanjaan anaknya yang juga OKU penglihatan.

Menurut Fendy, jika tidak kerana kekangan dihadapinya, beliau akan mencari cara jalan lain untuk menjana pendapatan seperti menjadi penghantar makanan Foodpanda atau Grabfood.

“Sekarang saya ada buat ‘busking’ secara langsung setiap Sabtu jam 9 malam menerusi Facebook dan YouTube dan ini juga antara usaha untuk jana pendapatan setakat apa yang saya mampu, kalau saya celik sudah tentu saya buat Foodpanda atau Grabfood,” katanya.

Pada Jumaat, tular sebuah video yang telah dimuat naik ke laman media sosial memaparkan pemuzik ini yang membuat pemakluman kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bebanan yang sedang ditanggung dirinya untuk menyara anak perempuannya berikutan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamalberkata, pihaknya akan membantu Fendy untuk menjana semula pendapatan melalui sistem “freelance” ekonomi yang dibina bersama KKMM di bawah program Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi myGIGI dan Glow.

Terdahulu, Asyraf dihujani kritikan dalam akaun Facebooknya selepas berkongsi gambar lawatannya menemui TPM baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tindakan tersebut nampaknya bertentangan dengan pendirian beliau sebelum ini yang menyatakan Majlis Tertinggi UMNO sudah membuat ketetapan utnuk tidak menerima jawatan TPM tersebut.

Asyraf juga memuat naik status di akaun Facebooknya mengkritik kerajaan kononnya rakyat terdesak memerlukan bantuan dan bukan jawatan TPM, ia sebagai tanda bantahan terhadap lantikan jawatan itu kepada Ismail Sabri.

“Rakyat terdesak perlu bantuan bukan jawatan TPM,” kata Asyraf dalam Facebooknya sebelum ini,” kata Asyraf sebelum ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR