Ketika Selangor catat kes tinggi, Kerajaan PKR berniaga vaksin dengan syarikat

Syarikat Selgate Corporation Sdn Bhd diamanahkan untuk urus niaga pembelian vaksin, dan separuh daripada kos akan ditanggung Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan PKR Selangor mula menjual vaksin Covid-19 kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk memberi vaksin kepada pekerja mereka selepas aplikasi SElangkah dilancarkan semula.

Pada awal pelaksanaannya pada Mei 2020, SElangkah menjadi alat komprehensif yang mempelopori pengesanan hubungan dan tindak balas masyarakat terhadap wabak Covid-19.

Anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, SELGATE Corporation kemudian bekerjasama dengan Artificial Intelligence in Medical Epidemiology (AIME) Sdn Bhd, bagi membentuk Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB)

Dengan slogan ‘Senang Buat Semua’ SVSB melancarkan aplikasi mudah alih yang dilengkapi dengan ciri kesihatan dan komersial yang bertujuan untuk membantu pengguna menghadapi wabak tersebut – SElangkah.

Ini termasuk platform pendaftaran untuk pemeriksaan dan vaksinasi Covid-19, alat pemantauan jarak jauh untuk kuarantin di rumah, e-dompet untuk pengedaran kesejahteraan dan kemudahan pembayaran tanpa sentuhan untuk peniaga PKS.

“Untuk makluman, Selangkah membuka pendaftaran kepada syarikat yang berminat untuk mendapatkan vaksin untuk pekerja mereka.

“Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman https://vax.selangkah.my,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Keluarga Kerajaan Selangor Dr Siti Mariah Mahmud.

Semakan menerusi laman web https://vax.selangkah.my mendapati syarikat kepentingan kerajaan PKR Selangor itu mengenakan bayaran kepada mana-mana syarikat yang mahu memberi vaksin imunisasi kepada pekerja mereka.

Syarikat akan dikenakan dua peringkat bayaran iaitu 50 peratus ketika membuat pendaftaran dan bakinya dibuat 14 hari sebelum vaksin diberikan.

Setakat ini bayaran hanya dikenakan kepada syarikat. Maklumat dalam aplikasi itu tidak menunjukkan lagi sama ada bayaran akan dikenakan kepada rakyat Selangor.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata vaksin Covid-19 akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pemberian vaksin kepada 26.5 juta rakyat Malaysia dilaksanakan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang membabitkan tiga fasa bermula hujung Februari lalu.

Selangor pada 18 Mei 2021 terus mencatat angka tertinggi kes Covid-19 dengan 1,743 dan 18 kematian dalam tempoh 24 jam sehingga jam 12 tengah hari.

Daerah Petaling terus mencatat kes tertinggi di Selangor dengan 459 kes diikuti Hulu Langat (437), Gombak (246), Klang (237), Kuala Langat (137), Sepang (76), Kuala Selangor (68), Hulu Selangor (45), dan Sabak Bernam (35).

POPULAR