Ketahanan, kemampuan PMKS Bumiputera dipertingkat: Muhyiddin

Daya tahan dan kemampuan perniagaan Bumiputera akan dipertingkat untuk mencapai sasaran 15 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputera pada 2025, katan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ini berikutan kumpulan itu turut memainkan peranan penting memandangkan satu daripada sembilan fokus utama kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) adalah agenda memperkasa Bumiputera.

”Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu termasuk memastikan penyertaan lebih ramai usahawan bumiputera menceburi bidang ekonomi digital.

”Untuk itu saya harap usahawan bumiputera dapat terus menyerlahkan potensi masing-masing tidak kira dalam apa juga bidang perniagaan yang diceburi,” katanya merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan di Melaka, hari ini.

Memetik Bernama Muhyiddin turut menyeru usahawan Bumiputera untuk memanfaatkan peluang dan sumber yang ada bagi mengharumkan nama Malaysia bukan sahaja di pasaran tempatan, malah di peringkat antarabangsa melalui pengeksportan produk.

Beliau berkata kerjasama dan jaringan perniagaan perlu diperkukuh dalam kalangan peniaga tempatan dan Bumiputera bagi mewujudkan komuniti perniagaan yang berdaya saing dan saling melengkapi antara satu sama lain.

”Saya percaya berkat kesungguhan dan komitmen semua pihak, usahawan tempatan khususnya Bumiputera mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan usahawan negara maju,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR