Kesihatan mental semasa pandemik, masyarakat perlu main peranan

Sekatan di laluan keluar masuk di PPR Kampung Limau, Kuala Lumpur dilakukan bagi mengawal penularan COVID-19 di kawasan itu. – Gambar Agenda Daily, 25 Mei, 2021.

Dilaporkan purata dua kes bunuh diri setiap hari dilaporkan bagi tempoh 2019 hingga Mei 2021 berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pada 2019 adalah sebanyak 609 kes diikuti sebanyak 631 kes bagi 2020.

Bagi tempoh lima bulan pertama iaitu tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes bunuh diri direkodkan. Ini menyaksikan secara purata sebanyak dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dalam tahun 2019 sehingga Mei 2021.

Dalam tempoh itu juga seramai 1,427 wanita dan 281 lelaki dilaporkan membunuh diri. Seramai 872 orang yang membunuh diri adalah berumur 15 hingga 18 tahun manakala mangsa berusia 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.

Realitinya rakyat sangat terkesan dengan situasi yang terpaksa dihadapi ini. Bukan sedikit angka, yang dilaporkan. Tetapi sebelum ia membarah dan menjadi wabak, seharusnya ada jalan penyelesaiannya agar tidak berlaku demikian, perlulah digiatkan.

Menurut Pensyarah Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Dr Natasya Abdullah, kejadian bunuh diri adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

“Terdapat beberapa rawatan farmakoterapi dan juga psikoterapi yang boleh diberi bagi merawat punca masalah tersebut.”

“Masyarakat perlu dididik untuk peka dan mengenal pasti tanda-tanda amaran yang ada berlaku sama ada pada ahli keluarga, rakan sejawat ataupun sesiapa sahaja,” jelasnya.

Menurutnya lagi, bantuan dan sokongan emosi perlu disediakan oleh pelbagai pihak bagi membolehkan seseorang yang mempunyai masalah emosi dan kecelaruan bagi mendapatkan bantuan.

Malahan, kerajaan juga perlu lebih prihatin kepada mereka yang mengalami kesusahan terutama semasa pandemik ini, dengan meringankan beban termasuklah beban kewangan.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Noor Dzuhaidah Osman menasihatkan pihak media untuk tidak mensensasikan berita-berita yang melibatkan bunuh diri dan bersifat prejudis kepada mangsa, tetapi perlu diubah kepada berita yang boleh membangkitkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat.

Hakikatnya, peranan yang jelas dapat dilaksanakan pihak kerajaan ialah mewujudkan advokasi atau pendedahan yang terbaik untuk mengurangkan atau mensifarkan kes ini. Pergiatkan kempen di medium-medium utama negara agar rakyat jelas keadaan itu adalah sesuatu yang bahaya bukan untuk diri tetapi keluarga juga lingkungan.

“Tentunya institusi kesihatan mental juga agama wajar mengambil peranan dan memperkasakan sistem sedia ada.

“Tanggungjawab dalam kalangan masyarakat pula, mereka perlulah bersikap terbuka menerima hakikat dirinya atau keluarganya mengalami masalah kesihatan mental dan segera mendapatkan bantuan rawatan,” jelasnya.

Tambah  Dr. Noor Dzuhaidah, pelbagai faktor dikenal pasti berdasarkan kes yang lalu, antaranya bebanan hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga menjadi punca utama seseorang nekad meragut nyawanya sendiri ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

Justeru, Pegawai Psikologi Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norhaida Asma Mohd Hashim, menasihatkan mereka yang dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi semasa PKP, untuk cuba bantu sendiri atasi tekanan dengan cara yang mampu dilakukan sendiri seperti beriadah, memulakan hobi baru dan lakukan perkara yang disukai atau boleh mengurangkan tekanan.

Beliau turut menyarankan mereka yang stres untuk mendapatkan bantuan individu yang selesa berkongsi dan boleh dipercayai. Sebaiknya, dapatkan intervensi awal daripada profesional dalam bidang psikologi kaunseling atau psikiatri.

“Semua pihak mempunyai peranan yang besar dalam mengatasi isu bunuh diri dan perlulah sentiasa mengambil berat akan tahap kesihatan mental masing-masing. Selain itu, sokongan daripada ahli keluarga, rakan sekerja, rakan sekuliah dan ketua jabatan atau penyelia sangat penting bagi mengatasi peningkatan kes bunuh diri di Malaysia terutamanya dalam perubahan normal baru semasa pandemik,” katanya.

POPULAR