Keselamatan siber pelengkap usaha pacu pertumbuhan ekonomi: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia turut memberi keutamaan dalam memastikan keselamatan siber terjamin, khususnya yang mendasari ekonomi dan keamanan negara.

Beliau berkata isu keselamatan siber telah menjadi antara bidang tumpuan utama kerajaan bagi melengkapkan usaha ke arah memacu pertumbuhan ekonomi negara ini.

“Perkara ini (keselamatan siber) telah menjadi suatu isu dan mana-mana negara didapati tidak akan termampu untuk menangani masalah ini secara sendirian berikutan ancaman siber tidak mengenal batas sempadan dan menjadi semakin canggih serta rumit.

“Kita juga tidak terkecuali dalam memberi penekanan terhadap elemen keselamatan siber dalam setiap inisiatif,” katanya merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber 2021 (CYDES 2021) yang diadakan secara maya, hari ini.

Perdana Menteri berkata isu berkenaan juga menuntut kerajaan untuk memberikan perhatian serius berikutan peningkatan ancaman dan jenayah siber, sejak tiga tahun lepas.

“Walaupun jumlah kerugian melibatkan jenayah siber didapati semakin berkurangan sejak tiga tahun lepas, namun fakta berhubung jumlah kes yang semakin meningkat amat membimbangkan. Senario ini semestinya menuntut kerajaan untuk memberi perhatian serius dalam usaha menangani jenayah siber, “ katanya.

Beliau berkata pada tahun 2019 jumlah jenayah siber yang dilaporkan berjumlah sebanyak 3,787 dan meningkat 10 peratus kepada 4,194 pada 2020 dan angka itu terus meningkat pada suku pertama tahun ini, apabila sebanyak 1,300 kejadian jenayah siber dilaporkan.

Muhyiddin berkata, jenayah siber juga menunjukkan peningkatan dan menurut statistik Polis Diraja Malaysia, jumlah jenayah siber yang dilaporkan pada 2019 adalah sebanyak 11,875 kes dengan jumlah kerugian mencecah RM498 juta.

Katanya, tahun lepas, jumlah kes meningkat kepada 14,229, dengan jumlah kerugian RM413 juta manakala pada suku pertama tahun ini, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 4,327 dengan jumlah kerugian RM77 juta.

Perdana Menteri berkata inisiatif MyDigital yang dilancarkan pada Februari tahun ini adalah untuk mengalakkan semua rakyat Malaysia menceburi digitalisasi dan merebut peluang untuk meningkatkan taraf hidup, mencerminkan komitmen kerajaan ke arah usaha meningkatkan pertahanan negara bagi melindungi persekitaran ruang siber.

“Untuk memastikan kejayaan MyDigital, Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA), telah diberi tanggungjawab untuk menjadi agensi utama mengkoordinasikan dan menetapkan standard semua inisiatif keselamatan siber di bawah enam kluster MyDigital.

“Saya percaya bukan hanya Malaysia tetapi semua negara lain di seluruh dunia perlu memandang serius perkara ini,” kata Muhyiddin.

Katanya, semua pelan pindakan di bawah Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2020-2024 akan diselaraskan dengan inisiatif MyDigital sebagai elemen penting untuk mencapai visi menyediakan ruang siber yang selamat, terjamin dan berdaya tahan.

Perdana Menteri berkata melalui MCSS, kerajaan akan memperkukuh kemampuan tempatan untuk meramal, mengesan, mencegah dan bertindak balas terhadap ancaman siber dengan mempertingkatkan tadbir urus berkaitan keselamatan siber, memupuk individu kompeten, menyokong proses amalan terbaik dan menggunakan teknologi yang berkesan.

“MCSS juga telah menggariskan 113 program di bawah 35 pelan tindakannya, dan satu daripadanya ialah mengadakan persidangan dan pameran antarabangsa dwi tahunan, juga dikenali sebagai CYDES,” tambahnya.

Mengenai Covid-19, Muhyiddin berkata pandemik itu telah mengubah hampir semua aspek kehidupan manusia, maka penggunaan teknologi digital telah menjadi norma baharu yang mempercepatkan usaha ke arah pergantungan dunia digital yang didapati meningkat secara signifikan dan di luar jangka.

“Dengan itu, peluang baharu telah tercipta. Covid-19, sememangnya memangkin pelan dan strategi kita untuk meningkatkan kadar celik digital. Kini, semakin ramai rakyat Malaysia terlibat dalam e-dagang, pelajar kita juga semakin terdedah kepada pembelajaran secara dalam talian sementara sektor ekonomi dan kerajaan terus meningkatkan kecekapan melalui digitalisasi.

“Jelas sekali bahawa penggunaan teknologi digital adalah sesuatu yang tidak dapat kita elakkan untuk menangani semua cabaran dalam menguruskan kesan terburuk akibat Covid-19, dan kita bangkit darinya, menjadi lebih berani dan kuat,” katanya.

POPULAR