Kes Zahid: Pendakwaan bantah keterangan ‘tidak relevan’ Fadzlette

September 19, 2022 · Isu semasa

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu menolak sebahagian daripada keterangan Setiausaha Akhbar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Mej Jen (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican, yang menyerang kredibiliti saksi utama dalam perbicaraan terhadap Presiden UMNO itu, kata pihak pendakwaan hari ini.

Fadzlette dijadual memberi keterangan sebagai saksi pembelaan kedua bagi perbicaraan Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan, termasuk dakwaan pecah amanah jenayah (CBT) ke atas dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM31 juta, pengubahan wang haram, dan dakwaan menerima RM21.25 juta rasuah.

Kenyataan bertulis Fadzlette tidak dibacakan secara fizikal di mahkamah hari ini, tetapi dianggap atau diambil sebagai dibaca.

Ketua Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, bagaimanapun membantah beberapa perenggan kenyataan itu, sambil berkata ianya tidak relevan dengan pertuduhan terhadap Zahid dan tidak sepatutnya diterima oleh Mahkamah Tinggi sebagai bukti.

“Ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja, ia harus dikecualikan atas alasan ia tidak relevan dan tidak boleh diterima kerana fakta tambahan,” katanya.

Bahagian keterangan Fadzlette – yang dibantah oleh pihak pendakwaan – telah cuba menyerang kredibiliti dan memburukkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Mazlina – bekas Setiausaha Eksekutif Zahid merupakan saksi utama bagi pihak pendakwaan – tetapi Zahid dan peguamnya secara konsisten cuba menyalahkan saksi ke-90 itu di atas penggunaan cek YAB untuk tujuan seperti membayar bil kad kredit tertuduh dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.

Raja Rozela hari ini menegaskan bahawa kredibiliti Mazlina sebagai saksi bukanlah isu utama dalam perbicaraan Zahid, kerana isu utama harus berkisar tentang pertuduhan terhadap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Mahkamah Tinggi kata Raza Rozela, mempunyai kuasa untuk mengawal berapa banyak bukti yang dibentangkan melalui kenyataan saksi, selagi kenyataan itu berkaitan dengan isu utama dalam perbicaraan.

“Kenyataan itu mestilah relevan dengan fakta, sama ada fakta yang menjadi isu atau fakta yang berkaitan dengan fakta yang menjadi isu dalam kes ini.

“Apa yang saksi ini ada di sini hari ini untuk membacakan – kenyataan itu – ia pastinya dalam penghujahan saya yang rendah hati, ia hanyalah tambahan, isu sekunder, fakta sekunder yang tidak ada kaitan langsung dengan fakta yang menjadi isu,” katanya.

Beliau turut berhujah bahawa bahagian keterangan Fadzlette yang dipertikaikan iautu berhubung Mazlina, tidak akan membantu Mahkamah Tinggi dalam memutuskan fakta dalam isu atau pertuduhan terhadap Zahid.

“Jadi, dengan itu Yang Arif, kenyataan di Perenggan 16 hingga 30, sama ada ia terpakai atau merujuk kepada Mejar Mazlina, mesti diputuskan sebagai tidak boleh diterima atas alasan ia adalah bukti tambahan,” katanya.

Peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, kemudian meminta masa untuk menyediakan jawapan terhadap bantahan pihak pendakwaan terhadap sebahagian kenyataan saksi bertulis Fadzlette, kerana pihak pembelaan tidak diberi notis awal bantahan itu, dan mencadangkan hujah jawapan boleh dibuat pagi esok.

Bagaimanapun, Raja Rozela berkata pihak pendakwaan tidak perlu memberi sebarang notis kerana ini bukan bantahan awal, sambil menambah: “Saya rasa pembelaan dalam segala kebijaksanaan mereka sepatutnya menjangkakan bantahan seperti ini… ini adalah peraturan pembuktian, ia sangat jelas, ia bukan sesuatu yang baharu, ia bukan sesuatu yang kami reka-reka.”

Raja Rozela berkata pihak pendakwaan juga akan membantah kenyataan empat lagi saksi pembelaan akan datang di mana mereka turut menyebut berkaitan Mazlina.

Memandangkan Hisyam menyatakan perlunya masa sepanjang hari untuk menyediakan jawapan, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan jawapan itu akan didengar esok.

“Saya fikir dalam keadaan itu, kami akan memberi masa kepada pembelaan untuk menyelidik. Jadi, saya akan mendengar hujahan jawapannya pagi esok,” kata hakim itu.

Pada 24 Januari lalu, Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan CBT, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti yang dikemukakan pendakwaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menghadapi 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Perbicaraan kes itu bermula sejak 18 November 2019 dengan pendakwaan memanggil 99 saksi, sementara penghujahan kes bermula 6 September 2021 dan berakhir setelah 24 hari.

Zahid, 68, mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan CBT, Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bekas Timbalan Perdana Menteri 33 bulan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, dia didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu dituduh dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Shah Alam pula menetapkan 23 September untuk membuat keputusan sama ada akan membebaskan atau memanggil Presiden UMNO itu membela diri berhubung 33 pertuduhan rasuah menerima S$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk memudahkan sistem visa asing syarikat dan perkhidmatan sehenti di China.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga dibicarakan atas tujuh pertuduhan rasuah lain atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu, di mana dia didakwa memperoleh sendiri rasuah dalam mata wang berbeza yang terdiri daripada S$1.15 juta, RM3 juta, €15,000 dan AS$15,000 daripada UKSB .

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung kes itu.

Berita berkaitan
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
23 jam lalu· Politik
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
23 jam lalu· Isu semasa
Mahkamah benarkan pasport Muhyiddin dipulangkan untuk sementara
November 29, 2023· Isu semasa
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023· Isu semasa
Popular
Yasin bebas pertuduhan kes dadah, diarah ke Hospital Bahagia
November 29, 2023
Sirul dipakaikan peranti pemantauan: Laporan
November 29, 2023
Sekumpulan gajah di Gerik pijak kereta, sekeluarga berdepan keadaan cemas
November 27, 2023
Mahkamah tolak permohonan penghakiman terus syarikat barang kemas terhadap Rosmah
November 29, 2023
Lagi Isu semasa terkini
Kes bunuh teman wanita: Pemandu lori dipenjara 35 tahun, 12 sebatan
23 jam lalu · Isu semasa
Mangsa banjir di Terengganu, Kelantan kekal setakat pagi ini
November 29, 2023 · Isu semasa
Mahkamah tolak permohonan penghakiman terus syarikat barang kemas terhadap Rosmah
November 29, 2023 · Isu semasa
Kes empat beradik ditinggalkan, dua individu ditahan dipercaya ibu bapa
November 29, 2023 · Isu semasa
Operasi mencari mangsa dalam runtuhan gudang diteruskan
November 29, 2023 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Agihan saksama kepada sekolah cina walaupun tak dihargai
15 jam lalu
[VIDEO] Sanusi konsisten salur peruntukan pembangkang Kedah sejak 2020
16 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok