Kes Yayasan Akalbudi: Zahid sangkal dakwaan satu sen tak diguna bantu orang miskin

Dakwaan tiada satu sen pun dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membantu orang miskin oleh pendakwaan disangkal sama sekali Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid semasa memberi keterangan pembelaannya hari ini berkata sebaliknya sebanyak RM109 juta sudah digunakan untuk tujuan sumbangan kebajikan kepada golongan miskin dan amal jariah menerusi yayasan ditubuhkannya itu.

Jelasnya, jumlah itu bagaimanapun hanya sebahagian daripada sumbangan yayasan yang diasaskannya kerana sebahagian lagi tidak disenaraikan kerana beliau berpegang kepada prinsip ‘tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu’.

“Di hari Jumaat ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak sebagaimana prinsip saya pegang, iaitu kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu ketahui.

“Apabila senarai D5 dan D6 (bahan bukti senarai sumbangan Yayasan Akalbudi) dikemukakan pada Yang Arif (hakim Mahkamah Tinggi), saya beri pengakuan bahawa penyataan tiada satu sen diberi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar.

“Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan ini saya masukkan dengan tujuan hati yang baik. Adakah ini sesuatu yang harus dimalukan, diaibkan, dizalimi kepada saya. Ini mungkin disebabkan kelemahan teknikal setiausaha syarikat, tetapi dari segi niat, saya lakukan kerana Allah semata-mata,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zahid diperiksa balas peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal semasa membela diri berhubung 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dihadapinya.

Pada 18 November 2019 lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam pernyataan pembukaan berkata akan membuktikan tiada satu sen pun daripada RM31 juta dana Yayasan Akalbudi digunakan bagi membantu orang miskin, sebaliknya tertuduh membelanjakan bagi kepentingan sendiri, termasuk pembayaran kad kredit.

Katanya, pendakwaan juga akan membuktikan dana yayasan sama dibelanjakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagi membeli insurans kenderaan dan lesen motor persendirian.

Pada hari pertama membela diri Rabu lalu, Zahid berkata, antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk, termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.

Ia turut disalurkan bagi pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan yang menelan kos AS$1 juta.

Membiayai ubah suai gereja lama dibeli komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid; percetakan al-Quran untuk diedarkan ke negara minoriti Islam, pembinaan dataran Masjid Tuminah Hamidi (masih dalam proses) dan disalurkan kepada keluarga Cina serta India sempena Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mei ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR