Kes UMNO terima RM16 juta wang SRC International akan dibicara

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman sivil SRC International Sdn Bhd berhubung dakwaan menerima RM16 juta yang dikatakan diseleweng daripada syarikat itu.

Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman yang mewakili UMNO berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon berpendapat bahawa terdapat isu yang perlu diputuskan dalam perbicaraan.

Quay membuat keputusan itu dalam prosiding secara maya hari ini.

Beliau turut membenarkan permohonan SRC International untuk meminda penyataan tuntutannya bagi menggantikan perkataan “pengerusi” dan “ketua setiausaha UMNOo” kepada “setiausaha eksekutif UMNO, Mohd Sumali Reduan, seorang pegawai awam”.

Sebelum ini, plaintif menamakan UMNO yang disaman melalui presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Ahmad Maslan dan pemegang-pemegang jawatannya sebagai defendan.

“Mahkamah turut membenarkan permohonan defendan untuk penggantungan interim pemfailan penyataan pembelaan sementara menunggu rayuan diputuskan,”ujar Shahrul Fazli.

Pada Mei lalu, SRC International di bawah pengurusan barunya telah memfailkan saman itu bersama dengan beberapa anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.

Saman sivil terhadap UMNOdibuat dalam usaha untuk mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan telah dipindahkan kepada parti itu secara salah.

Syarikat itu mendakwa UMNO tahu atau sepatutnya tahu bahawa wang terbabit adalah milik SRC International dan parti itu tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.

Peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili plaintif.

Pada 10 Mei lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 billion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

BERITA BERKAIT
POPULAR