Kes turun sedikit, 338 pesakit di ICU

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun sembilan kes berbanding 3,519 kes yang direkodkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan ringkas hari ini berkata, dalam tempoh itu sebanyak 3,510 kes baharu direkodkan.

Ini menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,731,713 kes dengan sehingga semalam seramai 2,647,587 pesakit telah sembuh, dan 31,221 kes kematian.

Sehingga semalam sebanyak 49,395 kes masih aktif. Daripada jumlah kes aktif itu, 42,043 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,443 ditempatkan di PKRC; 3,571 dimasukkan ke hospital; dan 338 pesakit dirawat di ICU, dengan 186 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga memaklumkan sebanyak 234 kluster daripada 6,088 kluster yang dikesan sejak awal tahun lalu, masih aktif, termasuk dua kluster yang dikesan di Kubang Pasu, Kedah, serta di Sandakan, Sabah, semalam.

Sementara itu beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.91, naik sedikit berbanding jangkaan kelmarin sebanyak 0.90.

Walaupun naik sedikit, tidak ada negeri yang merekodkan nilai Rt melepasi 1.00. Jangkaan nilai Rt tertinggi dicatat di Terengganu iaitu 0.99 dan terendah di Sarawak dengan 0.76.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR