
Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 14 Mei 2022.
Jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam di seluruh negara semalam, Sabtu (14 Mei) turun di bawah 3,000 dengan hanya Terengganu yang merekodkan peningkatan kes baharu.
Dalam tempoh itu, sebanyak 2,373 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 3,029 kes pada Jumaat, menjadikan kumulatif positif sejak 2020 lalu meningkat sedikit kepada 4,475,873 kes.
Daripada jumlah kes positif itu, seramai 4,410,499 pesakit telah pulih, termasuk 1,340 pesakit yang pulih semalam, manakala 29,762 kes masih aktif, termasuk 28,425 pesakit menjalani kuarantin di rumah.
Selain itu, seramai 29 pesakit kini ditempatkan di PKRC; 1,261 pesakit dimasukkan ke hospital; dan 47 lagi dirawat di unit rawatan rapi dengan 31 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Daripada sejumlah 2,373 kes baharu semalam, 1,633 kes melibatkan individu yang telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19; 483 kes (individu menerima dua dos); 205 kes (tidak menerima vaksin); dan 52 kes (belum lengkap divaksinasi).
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan seramai lima pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes BID.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian akibat Covid-19 sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,612 kes, termasuk 7,541 kes BID.
Kedah, Negeri Sembilan, Sabah, Selangor dan Terengganu masing-masing merekodkan satu kes kematian.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 14 Mei 2022.