Kes turun lagi, enam kematian

Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Jumaat, 29 April 2022), terus turun dan kekal di bawah 3,000 kes, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).

Data laman sesawang CovidNow yang dikemas kini jam 7 pagi tadi menunjukkan sebanyak 2,579 jangkitan baharu dikesan semalam, berbanding 2,935 yang dicatat pada Khamis.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif kini mencecah 4,445,897 kes, dengan 5,360,061 pesakit telah sembuh, 35,542 kematian direkodkan dan 50,294 kes masih aktif.

Seramai 48,924 pesakit Covid-19 kini menjalani kuarantin di rumah; 34 ditempatkan di PKRC; 1,258 dimasukkan ke hospital; dan 78 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Data laman sesawang Guthub pula menunjukkan daripada kes baharu itu, 1,715 melibatkan penerima dos penggalak vaksin Covid-19; 518 (penerima dua dos); 263 individu (tidak divaksinasi); dan 83 kes lagi belum lengkap vasinasi.

Hanya dua negeri sahaja yang mencatat peningkatan jangkitan harian semalam membabitkan Sabah sebanyak 46 kes berbanding 36 pada Khamis, dan Perlis (sembilan kes, lima pada Khamis).

Selangor kekal mencatat jangkitan tertinggi semalam iaitu sebanyak 1,180 kes, manakal terendah direkodkan di Labuan iaitu satu kes.

Sementara itu, enam lagi pesakit meninggal dunia di hospital akibat komplikasi Covid-19 semalam, menjadikan kumulatif meningkat kepada 35,542 kes, termasuk 7,521 kes kematian di luar fasiliti kesihatan.

Selangor merekodkan tiga kematian semalam, manakala Perak, Sabah, dan Terengganu masing-masing mencatat satu kematian.

BERITA BERKAIT
POPULAR